RapidKL teruskan peraturan jarak sosial selepas ditegur

RapidKL menyeru semua penumpang mematuhi dasar ditetapkan kerajaan dan sentiasa memberi kerjasama kepada pasukan petugasnya di stesen.

PETALING JAYA: RapidKL akan terus mengekalkan peraturan jarak sosial dalam tren dan stesennya selepas mendapat teguran daripada kenyataan medianya berhubung penamatan amalan itu mulai esok.

“Rapid Rail selaku pengendali kepada perkhidmatan rel di bawah jenama RapidKL akur dengan keputusan kerajaan untuk meneruskan penjarakkan sosial dalam LRT, MRT dan Monorel,” katanya dalam kenyataan.

“Polisi ini akan terus dilaksanakan sehingga keputusan baru dibuat oleh pihak kerajaan.

“Kami menyeru semua penumpang yang akan kembali bekerja pada 10 Jun mematuhi polisi yang telah ditetapkan dan sentiasa memberi kerjasama dengan pasukan RapidKL yang bertugas di stesen.”

Terdahulu, RapidKL berkata, semua operasi LRT, MRT dan Monorel akan kembali normal sejajar prosedur operasi standard Kementerian Pengangkutan bagi tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), yang membenarkan kapasiti 100% bagi semua perkhidmatan rel, kecuali Perkhidmatan Keretapi Elektrik KTM (ETS) dan KTM Antarabandar.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Abdul Hadi Amran berkata pemeriksaan suhu badan dan pemakaian topeng bagi pekerja serta penumpang, penyediaan dan penggunaan pensanitasi tangan di stesen dikekalkan.

Susulan itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob dalam taklimat hariannya berkata, RapidKL tiada kuasa mengubah dasar atau peraturan penjarakan sosial yang ditetapkan kerajaan dalam usaha membendung penularan Covid-19.

“Mereka buat keputusan sendiri tanpa rujuk kepada kerajaan adalah tindakan salah.

“Bukan atas kebenaran kita, bukan kebenaran mesyuarat menteri atau Majlis Keselamatan Negara. Tak ada keputusan kita buat (mengenai itu),” katanya.