RapidKL tiada hak ubah peraturan jarak sosial, kata menteri

Ismail Sabri Yaakob berkata, RapidKL membuat keputusan sendiri berhubung peraturan jarak sosial tanpa merujuk kepada kerajaan adalah tindakan salah.

PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata RapidKL tiada kuasa untuk mengubah dasar atau peraturan penjarakan sosial yang ditetapkan kerajaan dalam usaha membendung penularan Covid-19.

“Mereka buat keputusan sendiri tanpa rujuk kepada kerajaan adalah tindakan salah.

“Bukan atas kebenaran kita, bukan kebenaran mesyuarat menteri atau Majlis Keselamatan Negara (MKN). Tak ada keputusan kita buat (mengenai itu),” katanya dalam taklimat harian di sini hari ini.

Terdahulu, RapidKL dilaporkan berkata, operasi kereta apinya akan kembali kepada normal mulai esok, dengan penumpang tidak lagi perlu mematuhi peraturan penjarakan sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Abdul Hadi Amran berkata langkah itu sejajar prosedur operasi standard Kementerian Pengangkutan bagi tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), yang membenarkan kapasiti 100% bagi semua perkhidmatan rel, kecuali Perkhidmatan Keretapi Elektrik KTM (ETS) dan KTM Antarabandar.

Ismail berkata, RapidKL perlu memohon kepada MKN, bukannya mengubah dasar dan peraturan ditetapkan kerajaan sendiri.

Katanya, beliau memahami peraturan jarak sosial bermakna jumlah penumpang perlu dikurangkan dan kos operasi meningkat.

“Tetapi jangan putuskan perkara sedemikian sendiri. Ia adalah salah.”

Katanya, selain pengangkutan awam, pengangkutan lain turut mengalami kerugian akibat pelaksanaan penjarakan sosial untuk membendung penularan Covid-19.

“Apabila hadkan pesawat boleh bawa 66% penumpang saja, mereka juga alami kerugian, tapi kita faham dan sedang bincang.”

Pelarian Rohingya

Ismail berkata, kerajaan tidak akan membenarkan pelarian Rohingya, khasnya yang melarikan diri dari penempatan pelarian di Cox Bazar, Bangladesh, memasuki negara ini.

Katanya, Kementerian Luar diminta berbincang dengan Bangladesh untuk menghantar pelarian itu ke Cox Bazar atau Pulau Bhasan Char di Teluk Benggala.

Beliau berkata, Kementerian Luar juga akan berbincang dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk menghantar pelarian itu ke negara ketiga.

“Kita tidak boleh terima pelarian Rohingya dan kita harap negara ketiga yang menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 terima mereka.”