Singapura sedia kerjasama penuhi keperluan rentas sempadan

Isu rentas sempadan Malaysia-Singapura, yang memberi kesan kepada ratusan ribu rakyat, bergantung kepada keadaan Covid-19 di kedua-dua negara. (Gambar Bernama)

SINGAPURA: Singapura sedia bekerjasama dengan Malaysia untuk memenuhi keperluan pelawat merentas sempadan, termasuk pelawat untuk urusan jangka pendek dan rasmi serta pekerja Malaysia yang sebelum ini berulang-alik.

Kementerian Luar Singapura dalam kenyataan semalam berkata cadangan aturan perjalanan perlu mengandungi protokol kesihatan awam yang dipersetujui bersama bagi membenarkan semula pergerakan rentas sempadan yang selamat.

Kedua-dua negara memerlukan masa untuk memperhalusi isu ini dan bergantung kepada keadaan Covid-19 di Malaysia dan Singapura.

Sementara itu, kementerian itu berkata Singapura akan meneruskan langkah praktikal bagi membolehkan rakyat Malaysia terus bekerja di Singapura.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan mengambil maklum sektor industri di Singapura mula beroperasi dan meminta kebenaran untuk pekerja Malaysia berulang alik ke Singapura.

Mesyuarat khas bersetuju untuk membenarkan rakyat untuk berulang alik atas urusan kerja dan bersedia untuk menjalankan ujian Covid-19 jika diperlukan kerajaan Singapura.

Pelaksanaan kebenaran ini masih dalam perbincangan antara ketua setiausaha Wisma Putra bersama rakan sejawatnya di Singapura.