SPRM serbu syarikat sarung tangan WRP dalam siasatan ke atas bekas CEO

Lembaga pengarah baru WRP Asia Pacific berkata, ia bersedia bekerjasama dan membantu siasatan ke atas pengurusan lama.

PETALING JAYA: Pembuat sarung tangan, WRP Asia Pacific Sdn Bhd (WRP) mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu premisnya hari ini dalam siasatan ke atas dakwaan penyelewengan dana oleh seorang bekas ketua pegawai eksekutifnya (CEO).

CEO itu disingkirkan November lalu, selepas dakwaan salah urus oleh lembaga pengarah syarikat itu.

Selain mendakwa CEO itu enggan menjawab kepada lembaga pengarah dan didakwa mahu menutup syarikat itu, lembaga pengarah mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana pecah amanah membabitkan RM8.4 juta.

Peguam WRP dalam kenyataan hari ini berkata, serbuan itu “bukan sesuatu yang dikehendaki mana-mana syarikat”, ia menandakan satu lagi langkah ke depan untuk memastikan pengurusan lama bertanggungjawab terhadap tindakan mereka.

“Ia memberi kami harapan baru yang mereka (didakwa) membahayakan kewangan serta kredibiliti syarikat untuk kepentingan diri akan dipertanggungjawabkan atas ketidakstabilan yang mereka timbulkan,” kata Firma Guaman Thomas Philip.

“Lembaga pengarah baru bersedia untuk bekerjasama dan membantu sebarang siasatan yang sedang dijalankan.”

Lembaga pengarah WRP baru, yang mengambil alih syarikat itu Januari lalu, berkata ia menemui “isu cukup besar” dengan bantuan pengaudit forensik.

Selain penggunaan dana syarikat, mereka mendakwa wujud percanggahan berhubung pematuhan peraturan dalam pengambilan pekerja.

WRP menjadi tumpuan media pada Januari 2019 apabila hampir 2,000 pekerja Nepalnya mengadakan mogok 3 hari selepas mendakwa mereka tidak dibayar gaji selama 3 bulan.

Siasatan Jabatan Tenaga Kerja mendapati syarikat itu bersalah kerana menahan gaji pekerja, tidak membayar gaji lebih masa, memotong gaji secara tidak adil dan waktu kerja salah pada waktu rehat serta cuti umum.

September lalu, pengeksportan WRP ke Amerika Syarikat disekat Kastam dan Perlindungan Sempadan negara itu selepas dakwaan sarung tangannya dihasilkan buruh paksa.

Sekatan itu ditarik balik Mac lalu susulan peningkatan permintaan untuk sarung tangan perubatan akibat penularan pandemik Covid-19.