1 kematian, 2 kes baru Covid-19

PUTRAJAYA: Dua kes baru Covid-19 dan 1 kematian dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhannya 118 kematian.

Dua kes baru itu ialah jumlah terendah sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

“Daripada 2 kes baru yang dilaporkan, 1 adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Daripada kes penularan tempatan, hanya 1 kes membabitkan bukan warganegara dan tiada penularan melibatkan warganegara,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam taklimat hariannya.

Sehingga kini, Malaysia merekodkan 8,338 orang dijangkiti virus itu dengan 1,206 pesakit masih dirawat di hospital.

“Lima kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, tiada yang memerlukan bantuan pernafasan.”

Katanya, 39 kes pulih dicatatkan hari ini, menjadikan keseluruhannya 7,014 orang.

Hisham berkata, kes kematian hari ini membabitkan lelaki tempatan berumur 61 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan buah pinggang.

“Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling.

“Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 15 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 7.03 pagi 10 Jun.”