371 terbabit sindiket seludup manusia ditahan

Polis berkata, fasa pertama rancangan membanteras pemerdagangan manusia dilaksanakan sebelum PKP dan fasa kedua pada 18 Mac hingga 3 Jun lalu.

KUALA LUMPUR: Polis menahan 371 individu yang disyaki menjadi anggota sindiket pemerdagangan manusia menerusi Ops Covid-19 Benteng mulai 4 hingga 7 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata semua suspek berusia 22 hingga 70 tahun itu yang terdiri daripada warga tempatan, Indonesia, Filipina, Bangladesh dan Myanmar terbabit dalam sindiket di Pulau Pinang, Perak, Selangor serta Johor.

Beliau berkata, kumpulan suspek itu yang terbabit dalam rangkaian penyeludupan sindiket, termasuk pembawa kapal, pengangkut, ejen penyeludupan dan mereka yang menyediakan perumahan sementara kepada migran diseludup.

Katanya, semua suspek ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang tidak membenarkan ikat jamin dan Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang.

“Polis juga akan melihat kewajaran sindiket ini disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dalam mengenal pasti perolehan wang haram serta harta yang dimiliki ahli sindiket ini,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Huzir berkata, 4 kertas siasatan membabitkan 138 suspek dibuka di bawah jenayah terancang dan 5 lagi kertas siasatan melibatkan 285 ahli sindiket dibuka untuk “penyeludupan migran”.

Katanya, polis akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap mereka kerana ada suspek yang pernah terbabit dalam aktiviti pemerdagangan manusia.

Beliau berkata, ini ialah fasa ketiga dalam rancangan berterusan polis untuk membanteras pemerdagangan manusia di Malaysia, dengan fasa pertama dilaksanakan sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) dan kedua pada 18 Mac hingga 3 Jun lalu.

Seramai 52 suspek ditahan dalam fasa pertama dan 124 lagi ditangkap dalam fasa kedua.

Beliau berkata, polis kini mara ke fasa keempat operasi untuk mengenal pasti penguat kuasa yang terbabit dalam sindiket penyeludupan manusia itu.

Katanya, usaha di bawah fasa ketiga dipertingkatkan kerana bimbang sesetengah pekerja migran yang meninggalkan negara ketika PKP mula dilaksanakan, akan balik ke Malaysia selepas sambutan Aidilfitri.