DAP pertahan Tommy Thomas dalam isu lepas akaun taikun

Ramkarpal Singh (kiri) berkata, Tommy Thomas bertindak secara profesional dan tanpa pengaruh tidak wajar daripada pihak lain ketika memutuskan untuk melepaskan akaun seorang taikun perniagaan.

GEORGE TOWN: Ramkarpal Singh daripada DAP mempertahankan keputusan bekas peguam negara, Tommy Thomas melepaskan akaun seorang taikun perniagaan yang dibekukan membabitkan dana haram didakwa diterima daripada bekas perdana menteri, Najib Razak.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata, Thomas membuat keputusan itu selepas taikun terbabit membuat perjanjian dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengembalikan dana yang diterima daripada Najib kepada kerajaan.

Beliau berkata, taikun itu bersetuju memulangkan RM330,384 yang sama jumlahnya dengan dana haram diterima daripada Najib berkaitan kes SRC International.

Katanya, ini berdasarkan surat ditulis Thomas kepada bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng, dalam menjelaskan keputusannya melepaskan akaun taikun itu.

“Sudah jelas bekas peguam negara bertindak secara profesional dan tanpa pengaruh tidak wajar daripada mana-mana pihak seperti yang dapat dilihat dalam suratnya bertarikh 14 Jun 2019, di mana Thomas memberikan alasan di sebalik keputusannya menarik balik arahan pembekuan akaun bank seorang taikun perniagaan.”

Pengerusi Biro Undang-undang DAP itu berkata, Thomas sudah menjelaskan dalam surat itu yang perjanjian antara taikun dan SPRM perlu dihormati.

“Dalam kata lain, menurut bekas peguam negara itu, beliau bertindak berdasarkan perjanjian yang dicapai antara taikun itu dan SPRM, serta tiada orang lain, yang beliau benar-benar berhak melakukannya.”

Oleh itu, katanya, laporan PAS Pulau Pinang kepada SPRM yang mendakwa Lim menyalahgunakan kuasanya “jelas tidak berasas”.

Semalam, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Abdul Razib Abdul Rahim membuat laporan kepada SPRM untuk menyiasat sebarang penyelewengan dalam isu itu.

Katanya, SPRM perlu menyiasat sebab pembekuan akaun taikun itu ditarik balik sedangkan beliau berhutang RM4 juta kepada kerajaan.

Najib berdepan pertuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang membabitkan RM42 juta yang didakwa datang daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.