‘Destinasi selamat’ permulaan pulih industri pelancongan, kata Nancy

Tinjauan Tourism Malaysia mendapati 50.9% daripada 13,787 responden percaya melancong dalam negara lebih selamat, dan 71.3% pula memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

PETALING JAYA: “Destinasi selamat” menjadi permulaan kepada usaha pemulihan industri pelancongan, ketika negara memasuki fasa pemulihan kesan pandemik Covid-19 hari ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri berkata sebagai peringkat permulaan, Putrajaya tekad menjadikan Malaysia destinasi selamat untuk pelancongan domestik, sambil mempromosikan Cuti-cuti Malaysia bagi mengalakkan rakyat melancong dalam negara.

“Ini seiring dengan misi kita pada masa hadapan apabila sektor pelancongan mula dibuka untuk pengunjung luar, apabila keadaan kembali pulih satu hari nanti,” katanya pada sidang media sempena pembukaan pelancongan domestik hari ini.

Nancy memaklumkan tinjauan Tourism Malaysia mengenai pelancongan domestik selepas perintah kawalan pergerakan, melibatkan 13,787 responden, mendapati 50.9% percaya melancong dalam negara lebih selamat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri.

Tinjauan sama juga mendapati 84.2% percaya Covid-19 mempengaruhi sikap mereka untuk mengembara, dan 71.3% pula memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan berbanding ke luar negara.

“Malah, dalam tinjauan ini juga mendapati 30.7% individu dalam kajian ingin bercuti antara 6 bulan hingga setahun, diikuti 22.8% dan 22.6% kurang dari dua minggu,” katanya.

Industri pelancongan dianggarkan mengalami kerugian bernilai lebih RM9 bilion sejak Januari hingga Mac ekoran penularan Covid-19, yang menyaksikan sekatan perjalanan udara dan laut di serata dunia. Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 juga dibatalkan atas sebab kesihatan dan keselamatan.

Nancy hari ini menyeru semua bekerjasama dalam usaha pemulihan industri pelancongan.

“Harus memainkan peranan, berganding bahu bersama-sama, menyemarakkan semula industri pelancongan negara, sekaligus meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan selamat untuk dikunjungi pada masa hadapan,” katanya.

Menurutnya, bagi merancakkan semula industri pelancongan dan kebudayaan, pelan pemulihan mengenal pasti strategi seperti mengutamakan platform digital, seperti media sosial, laman blog, laman sesawang, dan e-pasaran.

“’Remodel’ promosi dan pemasaran di mana ia akan memfokuskan mengembalikan keyakinan masyarakat tempatan dan antarabangsa untuk melancong semula melalui aktiviti perhubungan awam, memaklumkan Malaysia destinasi selamat.

“Meningkatkan standard dan kualiti perkhidmatan dan produk pelancongan terutamanya dari segi kebersihan dan keselamatan selaras dengan tatacara operasi standard Majlis Keselamatan Negara (MKN) di tempat tarikan pelancong supaya pelancong berpuas hati serta berasa selamat” katanya.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya turut melaksanakan beberapa inisiatif dalam membantu meringankan beban penggiat industri pelancongan, seperti pelaksanaan kursus “Domestic Tourism Vibes” secara dalam talian bermula Mei sehingga Nov 2020.

“Kementerian memberikan pengecualian bayaran fi lesen bagi pengusaha-pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang dilesenkan bawah Akta Industri Pelancongan bermula 17 Mac hingga 31 Dis 2020.

“Pemberian diskaun pembayaran kompaun sebanyak 40% kepada semua pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong berlesen yang dikenakan kompaun oleh kementerian ini sebelum 31 Dis.

“Mengecualikan kompaun kepada pengusaha pelancong dan pemandu pelancong yang gagal memperbaharui lesen dalam tempoh ditetapkan disebabkan PKP dengan syarat permohonan lengkap perlu dikemukakan dalam tempoh 60 hari selepas tamat tempoh PKP,” katanya.