Had 4 naik 1 kenderaan kekal sepanjang PKPP

PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata peraturan 4 sekeluarga menaiki sebuah kenderaan persendirian kekal sepanjang perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang mula dikuatkuasakan hari ini.

“Kenderaan persendirian maksimum 4 orang mestilah keluarga sama dari rumah sama.

“Saya percaya ada yang bawa kawan-kawan, ada yang akan ingkar, jadi pesan saya bahawa SOP mesti dipatuhi.

“Kalau ada perubahan, kita akan umum kemudian,” katanya dalam taklimat harian di sini, hari ini.

Pada 4 Mei lalu, kerajaan membenarkan kenderaan persendirian hanya dinaiki 4 ahli keluarga dalam satu-satu masa sepanjang perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Saringan Covid-19 sebelum ke Malaysia Timur

Ismail berkata, peraturan yang mewajibkan individu ke Malaysia Timur menjalani ujian saringan Covid-19 ditetapkan kerajaan Sabah dan Sarawak bagi memastikan ia bebas daripada jangkitan virus itu.

“Itu merupakan polisi kerajaan negeri yang mereka perlu akur. Saya faham kebimbangan Sabah dan Sarawak kerana mereka terpaksa ada dalam pesawat lebih 2 jam. Itu membimbangkan kerajaan negeri, sebab itu dibuat polisi itu.

“Kalau itu polisinya, mereka (yang mahu ke Sabah dan Sarawak) perlu lakukan saringan di mana-mana klinik.”

Ismail turut mengumumkan Angkatan Tentera Malaysia akan terus membantu polis memantau pematuhan SOP sepanjang PKPP, walaupun tiada lagi sekatan jalan raya.

“Mereka akan fokus kepada pematuhan SOP yang lain seperti premis perniagaan, tempat awam, pasar dan sebagainya.”

Katanya, perkhidmatan menghantar makanan dibenarkan sehingga 12 malam berbanding 10 malam sebelum ini.

Yuran tadika, taska

Ismail menasihatkan pengusaha tadika dan ibu bapa mencari kata sepakat berhubung kenaikan yuran akibat SOP ketat yang perlu dipatuhi.

“Kita faham mereka perlu buat pelbagai (persiapan) seperti sanitasi taska, jadi ada kos tambahan. Saya harap mereka berbincang dengan ibu bapa kenapa perlu ada kenaikan yuran, kalau ada persetujuan bersama, saya rasa tidak timbul isu.”