Kreatif, kanak-kanak hasilkan mesin cuci tangan tanpa sentuhan

Mesin cuci tanpa sentuhan berfungsi dengan pengguna hanya perlu menekan pedal pada bahagian kaki bagi menolak bekas berisi air yang akhirnya digunakan untuk mencuci tangan. (Gambar Twitter)

Kreativiti seorang kanak-kanak Kenya menghasilkan mesin cucian tangan tanpa memerlukan sentuhan bagi membendung penularan Covid-19 di negaranya tidak sia-sia apabila menerima Anugerah Presiden sebagai pengiktirafan buatnya.

Stephen Wamukota yang berusia 9 tahun menerima Anugerah Perkhidmatan, Uzalendo (Patriotik), bersama 67 lagi penerima atas inisiatif mereka memerangi Covid-19 di Kenya.

Independent UK melaporkan, Stephen yang menetap di kampung Mukwa, 402 kilometer di utara Naurobi menghasilkan ciptaan itu bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Stephen mendapat idea menghasilkan alat itu selepas mempelajari cara mengekang penularan wabak berkenaan di televisyen.

Alat itu berfungsi dengan pengguna hanya perlu menekan pedal pada bahagian kaki bagi menolak bekas berisi air yang akhirnya digunakan untuk mencuci tangan.

Menerusi cara itu, pengguna tidak perlu menyentuh permukaan dan dapat mengelak risiko dijangkiti virus.

Bapa Stephen, James Wamukota menyedari inisiatif anaknya selepas melihatnya menghasilkan ciptaan itu daripada kayu yang sepatutnya digunakan untuk membuat bingkai tingkap.

James kemudian memuat naik gambar berkenaan di Facebook (FB) sebelum ia mendapat perhatian Presiden Kenya, Uhuru Kenyatta.

Stephen memberitahu BBC yang dia sangat gembira dengan anugerah diterima dan bercadang mencipta lebih banyak mesin selepas menyiapkan dua model inovasi berkenaan.

Kanak-kanak itu bercita-cita menjadi jurutera apabila dewasa dan menurut bapanya, terdapat ahli politik tempatan yang sudah berjanji memberi tajaan biasiswa.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]