Malaysia boleh bincang longgar sekatan sempadan, kata KP kesihatan

Malaysia boleh berbincang dengan Singapura, Brunei dan Thailand untuk melonggarkan sekatan pergerakan dengan mengkaji SOP yang perlu dilaksanakan. (Gambar fail)

PUTRAJAYA: Malaysia boleh memulakan perbincangan dengan negara jiran zon hijau untuk melonggarkan sekatan di sempadan kerana hanya 2 kes baru Covid-19 dilaporkan hari ini tanpa sebarang jangkitan tempatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, Malaysia boleh berbincang dengan Singapura, Brunei dan Thailand untuk melonggarkan sekatan pergerakan dengan mengkaji prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dilaksanakan.

“Kita boleh lihat pada SOP. Perkara paling penting ialah perjanjian antara 2 negara,” katanya dalam taklimat harian di sini, hari ini.

Hisham berkata, fasa pemulihan yang bermula hari ini akan menyaksikan lebih banyak sektor dibuka semula dan pihaknya akan terus mengawasi keadaan semasa.

Katanya, jika situasi boleh kembali seperti biasa, tanpa peningkatan mendadak kes positif, ia adalah keseimbangan yang dinantikan.

“Bagaimanapun, kita perlu meningkatkan pengawasan di hospital dan dalam komuniti bagi memastikan tiada peningkatan kes secara mendadak, walaupun kita sudah membuka sektor ekonomi, sosial dan pendidikan.

“Kita memperkasakan masyarakat untuk mematuhi SOP. Kita sudah tunjukkan ketika perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dilaksanakan, tanggungjawab itu terletak pada masyarakat.

“Jika mereka mematuhi dan mengamalkan penjarakan sosial yang tinggi, sudah pasti kita mampu mengurangkan kes jangkitan. Hari ini kita sudah melihat hasilnya, bukan saja usaha Kementerian Kesihatan, malah oleh orang awam juga.”

Hari ini, hanya 2 kes baru Covid-19 dilaporkan, yang terendah sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

9 kluster

Hisham berkata, KKM akan terus melakukan saringan, khususnya melibatkan 9 kluster yang disasarkan, walaupun jumlah jangkitan sudah berkurangan.

“Kalau kita lihat setiap kumpulan sasar, contohnya pusat jagaan warga emas ada pertambahan kes, jadi saringan dijalankan seperti biasa, tapi kadar unjuran menunjukkan makin berkurangan.

“Untuk bukan warganegara, kita telah ambil tindakan, asingkan mereka, kenal pasti kes positif, kes-kes di depoh selesai kita jalankan saringan, kita akan tingkatkan pantauan dari semasa ke semasa.”