Menteri Sabah didakwa atas perjanjian tanah Risda esok

Peter Anthony berikrar akan terus berjuang untuk kebenaran.

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Peter Anthony akan didakwa di Mahkamah Sesyen esok atas perjanjian pembelian tanah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Naib presiden Warisan itu mengesahkan beliau mendapat waran daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk hadir di mahkamah pada 8 pagi.

Beliau ke pejabat SPRM di sini pada 2.50 petang tadi untuk disoal siasat berhubung projek konsesi jalan dan keluar sejurus sebelum 6 petang.

Semalam, beliau disoal siasat SPRM selama 7 jam.

Anthony berkata, beliau akan terus berjuang untuk kebenaran dan mendakwa pertuduhan itu bermotifkan politik.

“Saya tiada masalah untuk hadir esok. Jika mereka mahu tahan saya, saya bersedia. Ini ialah kes lama yang sudah selesai.

“Mereka boleh buat apa saja yang mereka mahu, tetapi saya akan terus berjuang. Kita ialah orang Sabah dan tidak akan diperbodohkan lagi.”

Anthony ditahan SPRM pada Januari 2018 untuk membantu siasatan ke atas perjanjian pembelian tanah kelapa sawit bernilai RM155 juta di daerah Tongod, Sabah.

Beliau kemudiannya dibebaskan dengan jaminan.

Adun Melalap itu berkata, pegawai SPRM memaklumkan pertuduhan itu membabitkan dakwaan pengubahan wang dikaitkan satu perjanjian tanah Risda beberapa tahun lalu.

“Ia hanya satu pertuduhan, tetapi mereka boleh tampil dengan 10 hingga 20 pertuduhan kerana mereka ialah kerajaan. Tetapi, tiada apa yang perlu ditakutkan jika kita tak salah. Kita tidak takut, walaupun mati.

“Tetapi, semua orang di Sabah tahu perkara ini sudah selesai. Minggu lalu, seorang peguam (mewakili anak seorang peguam yang dikaitkan dengan perjanjian itu) berkata perkara itu sudah selesai. Apa kaitannya dengan saya?”

Peguam yang mewakili keluarga Michael Persius Ubu berkata, RM18 juta sudah dikembalikan kepada Risda daripada perjanjian tanah itu.

Anthony mendakwa langkah terbaru SPRM itu bermotifkan politik dan beliau sudah menjangkakannya.

“Kita tahu apa yang perlu dijangkakan dengan kerajaan Perikatan Nasional. Mereka cuba mematahkan semangat kita di Sabah supaya kita bergabung dengan mereka, tetapi wakil rakyat di sini menyokong ketua menteri kita.

“Tetapi, rakyat Sabah tak bodoh dan kita ada integriti. Malaysia milik kita semua, bukan hanya PAS dan Umno.

“Empat puluh enam pertuduhan ke atas seorang bekas ketua menteri Sabah digugurkan dan mereka mahu mendakwa satu kes yang sudah selesai? Saya gesa SPRM supaya tidak dijadikan alat.”

Anthony percaya beliau bukan ahli politik Sabah terakhir yang memihak kepada gabungan negeri diganggu secara politik.

“Saya rasa lebih ramai akan dipanggil, ia tidak mustahil. Tetapi, apa yang penting ialah kita perlu bangkit menentang orang yang mahu menjatuhkan orang Sabah.

“Rakyat akan hukum kerajaan kuku besi pada pilihan raya akan datang. Kami percaya pada Tuhan, bukannya PN.”