Pemimpin Warisan ke SPRM lagi

Peter Anthony (3 dari kiri) tiba di pejabat SPRM di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Peter Anthony sekali lagi dipanggil ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.

Naib presiden Warisan itu semalam menghabiskan kira-kira 7 jam disoal siasat SPRM berhubung dakwaan kontrak konsesi jalan yang diberikan terus kepada 5 kontraktor.

Kontrak itu dipercayai bernilai kira-kira RM1.5 bilion.

Anthony, berbaju biru dan berseluar hitam, tiba di pejabat SPRM dengan ditemani peguamnya Cedric Choo dan sejumlah penyokong pada 2.50 petang.

Semalam, Adun Melalap itu mendakwa soal siasat SPRM ke atasnya bermotifkan politik oleh parti lawan.

Katanya, tiada apa-apa yang disembunyikannya berhubung dakwaan itu dan tiada kes terhadapnya atau kerajaan negeri.