Sekolah dibuka untuk SPM mulai 24 Jun

PETALING JAYA: Sekolah akan dibuka bagi pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Vokasional Malaysia (STVM), dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bermula 24 Jun.

Kementerian Pendidikan membuat keputusan ini selepas mengambil kira pandangan dan nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

“Kami mohon jasa baik ibu bapa memastikan hanya anak-anak sihat dihantar ke sekolah. Anak-anak perlu mematuhi Garis Panduan disediakan semasa di sekolah. Warga sekolah juga mesti sentiasa mematuhi Garis Panduan KPM,” kata Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin pada sidang media hari ini.

Bilangan pelajar dihadkan kepada 20 orang setiap kelas, dengan jarak antara meja ditetapkan pada 1m.

Bagi menangani isu kesesakan di kantin pada waktu rehat, pelajar dikehendaki membeli makanan dan makan di kelas bawah pengawasan guru. Makanan dan minuman akan siap dibungkus, dan pelajar perlu beratur mengikut tanda penjarakkan sosial.

“Ibu bapa atau penjaga digalakkan menyediakan bekal makanan anak-anak,” katanya.

Aktiviti di luar darjah dan kokurikulum secara bersemuka tidak dilaksanakan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan, begitu juga dengan perhimpunan di sekolah.

Berkenaan sekolah berasrama pula, jarak antara katil di bilik juga ditetapkan pada 1m. Bilangan katil setiap bilik bergantung pada keluasan bilik.

Waktu makan juga diatur secara tak serentak, dengan penggiliran mengikut bilangan pelajar.

“Susunan meja di dewan makan akan turut mengambil kira keperluan penjarakan sosial,” katanya.

Pantau berterusan

Radzi turut memberi gambaran awal pergerakan di sekolah kelak.

Setibanya pelajar ke sekolah, guru bertugas akan memeriksa suhu badan pelajar, kakitangan dan individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah di pintu masuk sekolah.

“Sesiapa yang mencatatkan suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius atau bergejala tidak akan dibenarkan memasuki kawasan sekolah,” katanya.

Bagi pelajar, selepas suhu badan diperiksa, mereka perlu mengikut laluan pergerakan yang ditetapkan ke kelas masing-masing.

Semua yang berkenaan akan diingatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan diri, terutama mencuci tangan, apabila tiba di sekolah, pada waktu rehat, dan sebelum meninggalkan sekolah.

Sekolah juga akan menyediakan bilik pengasingan bagi pelajar yang menunjukkan gejala Covid-19 bagi mengelakkan risiko jangkitan.

Pelajar lain

Sementara itu, bagi pelajar dari kelas yang tidak menduduki peperiksaan awam, mereka akan kembali secara berperingkat.

Buat masa ini, katanya, pembelajaran di rumah akan diteruskan.

“Memandangkan guru-guru sudah kembali ke sekolah, pendekatan pengajaran dan pembelajaran boleh dipelbagaikan dengan akses kepada kemudahan-kemudahan di sekolah,” katanya.