27 kapal cuba ceroboh diusir, lebih 700 PATI ditahan

PETALING JAYA: Pihak berkuasa mengusir 27 kapal yang cuba menceroboh sempadan negara dan membawa 164 pendatang tanpa izin.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, angkatan 6 tekong itu dipintas dalam Ops Benteng, operasi pelbagai agensi yang bermula 1 Mei dan berakhir semalam.

Ops Benteng dilancarkan bagi menyekat penularan wabak Covid-19 dari luar negara.

“Dari 1 Mei sehingga semalam, seramai 704 PATI dan 125 tekong ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram. Turut ditahan 12 individu yang disyaki penyeludup serta 14 kapal,” katanya pada sidang media hari ini.

Polis juga membuat 49 sekatan jalan raya bagi mengekang kemasukan PATI, terutama di “lorong tikus”.

Sebanyak 40,969 diperiksa dalam sekatan itu.

255 masih di pusat kuarantin

Sementara itu, menteri memaklumkan seramai 255 individu yang pulang dari luar negara masih berada di pusat kuarantin kerana menunggu keputusan saringan Covid-19.

Bergantung kepada hasil ujian, mereka akan dibenarkan sambung kuarantin 14 hari di rumah.

“Mana-mana individu yang dibenar menjalankan kuarantin di rumah ingkar kepada arahan SOP akan dikenakan denda RM1,000, termasuk berdepan hukuman penjara dan tindakan mahkamah,” katanya.

Sementara itu, hari pertama pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan menyaksikan 5 individu ditahan kerana ingkar tatacara operasi standard.

“Polis turut mengeluarkan kompaun kepada 25 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan PKPP.”

2 tapak pembinaan diarah tutup

Menteri turut memaklumkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat pemeriksaan di 162 tapak binaan.

CIDB mendapati 24 tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran.

CIDB juga mengeluarkan 2 arahan menutup tapak kerana tidak patuh SOP.

“Jumlah kumulatif tapak binaan yang telah diperiksa oleh CIDB sehingga hari ini adalah 7,424 tapak binaan di seluruh Malaysia.”

Daripada jumlah itu, pemeriksaan CIDB mendapati 352 tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran.

“15 tapak binaan diarah tutup kerana tidak patuh SOP,” katanya.