Jangkitan baru kembali 2 angka, 31 kes dilaporkan

PUTRAJAYA: Sebanyak 31 kes baru Covid-19 dilaporkan hari ini, terdiri daripada 11 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 20 kes penularan tempatan.

“Daripada 20 kes penularan tempatan, 19 kes membabitkan bukan warganegara dan 1 kes penularan melibatkan warganegara,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini.

Tiada kematian dilaporkan, menjadikan keseluruhannya kekal 118 kematian.

Sehingga kini, Malaysia merekodkan 8,369 orang dijangkiti virus itu.

Ketika ini, seramai 1,186 pesakit sedang dirawat di hospital.

“5 kessedang dirawat di unit rawatan rapi. Daripada jumlah tersebut, tiada yang memerlukan bantuan alat pernafasan.”

Katanya, 51 kes pulih dicatatkan hari ini, menjadikan keseluruhannya 7,065 orang.

Noor Hisham berkata, 1 kes jangkitan tempatan hari ini membabitkan saringan di sekolah tahfiz di Hulu Langat, Selangor.

Terima kasih wartawan

Dalam sidang media sama, Noor Hisham turut mengucapkan terima kasih kepada wartawan dan warga media yang memainkan peranan sangat besar sebagai barisan hadapan dalam menyampaikan situasi sebenar Covid-19 kepada masyarakat.

Katanya, seperti yang disebut ketua pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, sejak awal wabak itu dikenal pasti lagi, dunia berdepan dengan cabaran memerangi “virus” dan “viral” secara serentak.

“Dalam pada petugas kesihatan dan anggota barisan hadapan lain bertungkus lumus membendung penularan virus Covid-19, pihak pengamal media dan wartawan juga memainkan peranan utama sebagai barisan hadapan dalam memberikan maklumat sahih serta memerangi berita palsu.

“Ini termasuklah tugasan yang dijalankan oleh wartawan, jurugambar di lapangan dan pelbagai petugas di studio, misalnya penyunting, berita, petugas media sosial dan sebagainya.

“Pelbagai platform media massa, media sosial dan media baru digunakan bagi memastikan orang ramai sentiasa dimaklumkan dengan maklumat dan berita yang tepat, cepat dan sahin mengenai wabak Covid-19,” katanya.