Ibadah Haji tahun ini ditangguh, kata menteri agama

Negara lain yang turut menangguhkan penghantaran jemaah haji masing-masing tahun ini ialah Indonesia, Singapura, Kemboja, Thailand dan Brunei. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini mengumumkan penangguhan pelaksanaan ibadah haji bagi seluruh umat Islam di negara ini pada tahun ini sehingga tahun depan.

Zulkifli berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan berdasarkan taklimat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tabung Haji serta Jawatankuasa Muzakarah Khas bagi hal ehwal agama Islam.

“Selain Malaysia, antara negara lain yang turut menangguhkan penghantaran jemaah haji mereka ialah Indonesia, Singapura, Kemboja, Thailand dan Brunei.

“Saya amat harapkan semua bakal haji bersabar dan redha. Tabung Haji akan keluarkan kenyataan rasmi selepas ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, beliau sendiri sudah menjemput duta kerajaan Arab Saudi ke Malaysia untuk bertemu dan menyerahkan surat rasmi penangguhan ibadah Haji bagi negara iniuntuk disampaikan kepada Mohammed Saleh Taher Banten selaku menteri haji dan umrah kerajaan Arab Saudi.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi di bawah kepimpinan Khadim al-Haramain al- Syarifain Raja Salman Abdulaziz atas usaha gigih membendung penularan jangkitan Covid-19 di Tanah Suci.

“Kami amat menghargai segala pengorbanan kerajaan Arab Saudi dan wira barisan hadapan mereka yang masih bertungkus-lumus dan berterusan memerangi wabak ini, khususnya di 2 buah Kota Suci yang dicintai seluruh umat Islam,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pengarah urusan kumpulan dan ketua pegawai eksekutif TH Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, semua bakal haji yang giliran haji diperuntukkan pada musim haji tahun 2020 akan diberi keutamaan untuk menunaikan fardu haji pada tahun 2021.

“Bagi bakal haji yang gilirannya adalah pada tahun 2021, mereka akan turut diberikan peluang tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa.

“Bahkan, semua bayaran haji yang didebit akan dipulangkan semula mengikut kadar penuh ke dalam akaun TH bakal haji masing-masing dalam masa terdekat,” katanya.

Menerusi soalan lazim yang dikeluarkan TH turut memaklumkan bahawa kuota jemaah haji bagi rakyat Malaysia pada tahun ini adalah seramai 31,600. Semua jemaah tidak dibenarkan menunaikan ibadah haji walaupun dengan menggunakan visa furada.

Manakala itu, bagi mereka yang membuat rayuan haji dan sudah diluluskan oleh TH untuk menunaikan haji pada tahun ini, maka kelulusan rayuan haji mereka adalah terbatal dan perlu membuat rayuan semula untuk tahun 2021.

Sementara itu, setiap syarikat pengelola jemaah haji yang dilesenkan oleh TH hendaklah memulangkan semula bayaran pakej haji kepada bakal haji yang sudah membuat bayaran, tertakluk kepada syarat yang sudah dipersetujui di antara bakal haji dan syarikat pengelola.