Jualan sektor pembuatan susut 33% pada April, kata ketua perangkawan

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah pekerja yang terbabit dalam sektor pembuatan bagi April 2020 juga berkurangan sebanyak 3.2% tahun ke tahun kepada 2,169,473 orang.

KUALA LUMPUR: Jualan sektor pembuatan Malaysia pada April 2020 susut sebanyak 33.0% kepada RM75.8 bilion berbanding RM113.1 bilion bagi tempoh sama tahun lepas, demikian menurut Jabatan Perangkaan.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, bagi bulan ke bulan, nilai jualan sektor itu merosot sebanyak 31.2% (RM34.3 bilion), manakala dalam pelarasan bermusim nilai tersebut turun sebanyak 29.5%.

“Penurunan tahun ke tahun yang direkodkan bagi nilai jualan April 2020 adalah disebabkan oleh penyusutan dalam produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (-69.5%), produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (-67.5%) dan produk peralatan elektrik & elektronik (-39.6%),” katanya.

Mohd Uzir berkata, ini juga disebabkan oleh penutupan sementara perniagaan ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin.

Menurutnya, dalam keadaan biasa sebaliknya nilai jualan sektor pembuatan itu akan mencatat pertumbuhan yang dianggarkan sebanyak 6.9%.

Beliau berkata, industri perkhidmatan bukan utama juga merekodkan penurunan ketara apabila kapasiti penggunaan kilang susut di bawah 50%.

Selain itu jumlah pekerja yang terbabit dalam sektor pembuatan bagi April 2020 juga berkurangan sebanyak 3.2% tahun ke tahun kepada 2,169,473 orang.

Gaji dan upah yang dibayar pula berjumlah RM6,825.4 juta, iaitu turun sebanyak 6.2% atau RM448.7 juta pada April 2020 berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

Menurut laporan bulanan itu, nilai jualan bagi setiap pekerja menguncup sebanyak 30.8% kepada RM34,918 berbanding tempoh sama pada 2019, manakala purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,146 pada April lepas.