Kesatuan guru cadang sekolah rendah dibuka September

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) mencadangkan pembukaan sekolah rendah dibuat seawal-awalnya pada hujung September atau Oktober.

Presiden Aminuddin Awang berkata bagaimanapun ia tertakluk kepada keadaan semasa Covid-19 negara serta keputusan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bila Covid-19 sudah reda, kita harap sebelum berakhirnya bulan September atau Oktober, sekolah rendah juga dibuka bagi membolehkan para guru dan pelajar kembali ke sekolah bagi meneruskan sekolah seperti biasa,” katanya dalam temu bual khas Bernama 745 di Bernama TV semalam.

Beliau berkata walaupun sekolah tidak dibuka, guru-guru tetap bertugas menjalankan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam talian dari rumah sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

“Ingin saya nyatakan guru sentiasa bersedia dipanggil bertugas untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dalam memberikan ilmu kepada para pelajar.

“Ada guru yang membuat rakaman subjek mata pelajaran sukatan tertentu bagi membolehkan mereka memberikannya kepada pelajar setelah sekolah dibuka. Ada juga guru yang didapati menyediakan modul tertentu bagi memastikan pemerolehan ilmu dalam kalangan pelajar dapat direalisasikan,” katanya.

NUTP yakin guru akan melipatgandakan usaha bagi memastikan ilmu yang diterima sama tarafnya walaupun sekolah ditutup selama 3 bulan.

Dalam pada itu, Aminuddin turut mencadangkan penambahbaikan aspek pedagogi dan prosedur operasi standard (SOP) sistem pembelajaran dan pengajaran dalam bilik darjah iaitu hanya 4 mata pelajaran teras yang diajar manakala selebihnya diajar secara maya.

Beliau turut mencadangkan waktu persekolahan bagi sesi pagi dimulakan pada 8 pagi hingga 12 tengah hari dan sesi petang bermula 1 petang hingga 5 petang.

“NUTP yakin dengan kepelbagaian kemudahan dan kemahiran guru sekarang ini, guru mampu untuk merealisasikan impian itu,” katanya.

Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan semua sekolah di seluruh negara dibuka mulai 24 Jun ini, melibatkan pelajar yang menduduki peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan (STPM), dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa yang setara.