Malaysia diumum bebas Covid-19 jika sifar kes tempatan 28 hari, kata Noor Hisham

14 hari adalah tempoh inkubasi untuk individu yang dijangkiti Covid-19 dan ujian akan dibuat selama 2 kali sebelum mereka diumum tidak lagi dijangkiti wabak itu.

PUTRAJAYA: Malaysia akan diisytiharkan bebas Covid-19 jika tiada jangkitan tempatan selama 28 hari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tempoh itu adalah sebagai penanda aras kemampuan negara mengawal jangkitan wabak itu.

“Kalau kita lihat, kita dapat menamatkan 1 kluster dengan memakan masa 28 hari. Dengan mengambil kira tempoh ikubasi jangkitan Covid selama 2 kali, iaitu 28 hari.

“Justeru, sekiranya kita menggunakan kaedah pemantauan sama dan tiada kes dalam tempoh 28 hari, kita akan mengumumkan bebas Covid-19.

“Itulah penanda aras kita,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini, hari ini.

14 hari adalah tempoh inkubasi untuk individu yang dijangkiti Covid-19 dan ujian akan dibuat selama 2 kali sebelum mereka diumum tidak lagi dijangkiti wabak itu.

Beberapa hari ini Malaysia mencatatkan bilangan kes penularan tempatan 1 angka atau sifar membabitkan warga negara.

Selasa lepas, 7 jangkitan direkodkan, tanpa jangkitan dalam kalangan warga tempatan.

Semalam, 2 jangkitan baru dicatatkan, dengan sifar jangkitan membabitkan warganegara, sementara pada hari ini, 31 jangkitan membabitkan 19 bukan warganegara dan hanya 1 rakyat tempatan.