Menteri Sabah minta bicara terhadap tuduhan pengubahan wang RM8.75 juta

Menteri Sabah Peter Anthony (kiri) melambai kepada penyokong selepas kes mahkamah di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Peter Anthony hari ini mengaku tidak bersalah terhadap 5 tuduhan pengubahan wang dan menerima hasil kegiatan haram berjumlah RM8.75 juta antara 2014 dan 2016.

Anthony, 49, meninta dibicarakan terhadap tuduhan yang dibacakan Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Abu Bakar menetapkan 8 Ogos untuk sebutan pengurusan kes seterusnya, dan mengarahkan Anthony, yang juga naib presiden Warisan, membayar ikat jamin RM500,000 dengan 2 penjamin tempatan.

Anthony juga diarah menyerahkan paspot kepada mahkamah dan melapor diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2 bulan sekali.

Anthony dituduh bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan, dan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.

Bagi tuduhan pertama, Adun Melalap itu dituduh atas transaksi haram RM1.75 juta di Maybank, Jalan Perpaduan di Kampung Air pada 25 Julai 2014.

Bagi tuduhan kedua, beliau dituduh menerima RM2 juta di lokasi yang sama.

Bagi tuduhan lain, beliau dituduh menerima RM5 juta dalam 3 kejadian berasingan di bank yang sama.

Anthony diwakili Luke Ressa Balang, Martin Tommy, Cedric Choo, dan Douglas Lind.

Ahmad Akram Gharib dan Mohd Fariq Basiruddin mewakili SPRM.

Terdahulu, SPRM meminta mahkamah menetapkan ikat jamin RM1 juta dan mengarahkan Anthony menyerahkan paspot dan melapor diri kepada badan anti-rasuah itu setiap bulan.