Parlimen Singapura cadang perkenalkan sistem 4 hari kerja, mahu pekerja lebih produktif

Dengan mengambil contoh seperti syarikat terbesar dunia, Microsoft menunjukkan contoh yang baik sistem kerja 4 hari seminggu mampu meningkatkan produktiviti hingga 40%. (Gambar AP)

4 hari kerja dalam masa seminggu antara cadangan yang dikemukakan oleh Parlimen Singapura bagi menambah baik keseimbangan hidup dan kerja rakyatnya di tengah-tengah situasi pandemik.

Bercakap semasa perbahasan Fortitude Budget, anggota Parlimen, Mohamed Irshad menekankan wabak Covid-19 memaksa rakyat Singapura untuk menyesuaikan diri dengan kebiasaan baru dalam jangka waktu yang sangat singkat.

Usul yang dibawa Irshad kepada Parlimen, Singapura perlu beralih dari sistem kerja tradisional iaitu 5 hari kerja dalam masa seminggu ke sistem 4 hari kerja dalam seminggu dengan pilihan untuk bekerja dari rumah pada hari kelima dan mempunyai sistem kerja yang lebih fleksibel.

Dengan mengambil contoh seperti syarikat terbesar dunia, Microsoft yang telah menunjukkan contoh yang baik sistem kerja 4 hari seminggu mampu untuk meningkatkan produktiviti hingga 40%.

Irshad turut menambah sistem yang sama turut dipertimbangkan di New Zealand bagi tujuan mempromosikan keseimbangan hidup dan kerja yang lebih baik serta meningkatkan pelancongan domestik untuk membantu ekonomi negara.

Sementara itu, bagi anggota Parlimen, Yip Pin Xiu, bekerja dari rumah juga merupakan cabaran bagi mereka yang kurang upaya.

Kekurangan alat dan teknologi untuk membantu golongan kurang upaya akan menambah beban buat mereka untuk terus bekerja.

“Ramai di antara mereka (orang kurang upaya) menghadapi cabaran sosio-ekonomi dan mungkin tidak mampu membeli peralatan IT, alatan dan jalur lebar untuk membantu mereka menghadapi kehidupan dengan lebih baik dalam jangka masa ini,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]