Pengangkutan awam, bas ekspres dibenarkan kapasiti penuh

PETALING JAYA: Pengangkutan awam, dan bas ekspres dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh dalam tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Berkenaan bas ekspres, perkhidmatan itu dibenarkan beroperasi tanpa had masa.

Pengusaha bagaimanapun perlu mendaftarkan penumpang melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual, dan penumpang termasuk pemandu perlu memakai pelitup muka “pada setiap masa”.

“Pengusaha bas perlulah memeriksa suhu badan penumpang sebelum menaiki bas dan menyediakan topeng muka kepada mereka yang tiada serta mensanitasi bas selepas setiap perjalanan,” katanya pada sidang media.

Bagi pengangkutan awam seperti bas awam, feri, kereta api, dan kereta api aliran ringan, pemakaian pelitup muka, muat turun aplikasi MySejahtera, dan penggunaan pensanitasi tangan perlu dipatuhi pada setiap masa.

“Bagi yang membenarkan penumpang untuk berdiri, penumpang perlu mengamalkan kawalan kendiri penjarakan sosial,” katanya.

Bagi pesawat penerbangan pula, suhu penumapng perlu direkodkan disamping wajib memakai pelitup muka.

Sementara itu, perkhidmatan teksi dan kenderaan e-panggilan juga dibenarkan beroperasi tanpa had masa, dengan kapasiti penumpang mengikut kapasiti kenderaan.

“Penggunaan aplikasi MySejahtera untuk memudahkan proses ‘contact tracing’ dan pembayaran tambang mengikut kaedah tanpa tunai adalah digalakkan,” katanya.

Kerajaan juga membenarkan kenderaan persendirian membawa penumpang yang bukan dari keluarga yang sama, mengikut kapasiti kenderaan.

“Mereka juga perlu memakai topeng muka di dalam kenderaan,” katanya.