Permohonan geran agroprenuer muda dilanjut hingga akhir tahun

Di bawah geran agropreneur muda, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan RM20 juta bagi membantu golongan muda menceburkan diri dalam bidang pertanian serta industri lain yang berkait dengan makanan dan asas tani pada tahun ini.

JEMPOL: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memutuskan untuk melanjutkan permohonan bagi geran agropreneur muda yang tamat Isnin depan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ahmad Hamzah berkata, permohonan kini dibuka sepanjang tahun memandangkan ia mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan usahawan muda.

Bagi tempoh Januari sehingga hari ini, sejumlah 283 permohonan diluluskan membabitkan peruntukan RM4 juta dengan seorang pemohon yang layak menerima geran maksimum sebanyak RM20,000, katanya kepada pemberita selepas melawat syarikat Sukur Food Industries, pusat memproses makanan ringan, di Felda Wilayah Raja Alias di sini, hari ini.

Beliau berkata, di bawah geran itu, kementerian memperuntukkan RM20 juta bagi membantu golongan muda menceburkan diri dalam bidang pertanian serta industri lain yang berkait dengan industri makanan dan asas tani pada tahun ini.

Ahmad juga menegaskan bahawa industri makanan dan asas tani memainkan peranan penting bagi memastikan bekalan makanan untuk kegunaan dalam negara mencukupi, termasuk ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

“Pandemik ini memberi pengajaran kepada kita untuk memastikan keselamatan makanan negara sentiasa dalam tahap terbaik dan mencukupi,” katanya.