Sarawak mungkin tidak mampu buka semua sekolah pada 24 Jun, kata menteri negeri

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Michael Manyin berkata, kerajaan negeri dengan bantuan Sukarelawan Sarawak sedang berusaha untuk membawa guru terbabit dan keluarga mereka kembali ke Sarawak sebelum 20 Jun. (Gambar Bernama)

KUCHING: Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Michael Manyin berkata, sesetengah sekolah di negeri itu mungkin tidak dapat dibuka semula pada 24 Jun kerana masalah kekurangan guru.

Ini kerana kebanyakan daripada 2,664 guru adalah dari semenanjung, Sabah dan Labuan dan mereka tidak dapat melaporkan diri di Sarawak kerana kekurangan penerbangan, selain harga tiket yang tinggi.

Manyin berkata, ini berikutan pengumuman oleh Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin berhubung pembukaan semula sekolah pada 24 Jun untuk pelajar Tingkatan Lima dan Enam yang bakal menduduki peperiksaan utama kerajaan.

Beliau berkata, seramai 2,664 guru sepatutnya melaporkan diri di sekolah masing-masing di Sarawak pada 9 Jun, tetapi ramai dalam kalangan mereka tidak dapat berbuat demikian susulan jumlah penerbangan yang terhad dan kos yang tinggi.

Michael Manyin

“Bagaimanapun kerajaan negeri dengan bantuan Sukarelawan Sarawak sedang bekerja dengan kementerian dan syarikat penerbangan untuk membawa guru terbabit dan keluarga mereka kembali ke Sarawak sebelum 20 Jun.

“Semua guru dan keluarga mereka akan menjalani ujian saringan ketat dan prosedur kuarantin sebelum dibenarkan pergi ke sekolah.

“Guru yang bertugas di bandar akan menjalani kuarantin kendiri, sementara mereka yang berkhidmat di kawasan luar bandar akan dikuarantin di hotel selama 14 hari. Kos akan ditanggung oleh kerajaan negeri,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Manyin berkata, ibu bapa tidak perlu bimbang untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

Kementerian Pendidikan juga menyediakan peruntukan khas sebanyak RM4.6 juta kepada sekolah di Sarawak untuk membuat pembelian perlu seperti termometer dan pensanitasi tangan, selain untuk kerja-kerja pembersihan sekolah.

Tiga sekolah, iaitu 2 di Kota samarahan dan 1 di Kuching, yang mempunyai kes positif Covid-19 telah dinyahcemar.

Walaupun kajian terbaru oleh Jabatan Pendidikan negeri mengisyaratkan semua sekolah bersedia untuk dibuka di Sarawak, namun Manyin berkata, pegawai dari kementerian dan Jabatan Pendidikan Daerah akan melawat semua 118 sekolah bermula Isnin bagi memastikan ia bersedia untuk dibuka semula pada 24 Jun ini.