Semua Mahkamah Syariah beroperasi sepenuhnya mulai semalam

KUALA LUMPUR: Semua Mahkamah Syariah beroperasi semula sepenuhnya semalam, kata Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Mohd Na’im Mokhtar.

Ia susulan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 8 Jun.

Na’im berkata pihaknya komited memastikan pelaksanaan penyampaian perkhidmatan keadilan diteruskan, serta operasi Mahkamah Syariah digerakkan selaras garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

“Pihak saya akan memastikan Mahkamah-mahkamah Syariah di seluruh negara akan mematuhi segala garis panduan keselamatan dan kesihatan yang dikeluarkan.

”Bagi prosedur perbicaraan dan pengurusan kes lama ataupun baharu, pelanggan boleh merujuk mahkamah berdekatan kerana ia ditetapkan mengikut Jabatan Kehakiman Syariah Negeri masing-masing,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Na’im berkata JKSM bersama Mahkamah Syariah negeri-negeri seluruh negara mengeluarkan garis panduan pasca perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mei melalui Mesyuarat Khas Ketua-ketua Hakim Syarie berkaitan pengurus kes pasca PKP.

Beliau menasihati pelanggan yang mempunyai urusan di mahkamah supaya sentiasa memakai pelitup muka, diwajibkan melalui imbasan suhu badan di laluan masuk yang ditetapkan, serta perlu merekodkan kehadiran di pintu masuk mahkamah.

“Pelanggan yang mempunyai masalah kesihatan dan golongan berisiko dinasihatkan supaya tidak hadir ke mahkamah,” katanya.

Sebelum ini, semua mahkamah syariah di seluruh negara ditangguh dan dilaksanakan secara dalam talian berikutan pelaksanaan PKP bermula 18 Mac lepas bagi membendung penularan wabak Covid-19.

PKPP bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang memberikan lebih banyak kelonggaran kepada rakyat untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan.