SPRM tahan 3 individu di Tourism Malaysia berkait kontrak RM90 juta pada 2019

SPRM menyiasat 3 pengarah syarikat dan pegawai di Tourism Malaysia berkait kontrak kempen promosi bernilai RM90 juta.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 3 pengarah syarikat berkait siasatan kes rasuah RM90 juta melibatkan Tourism Malaysia, kata sumber yang mengetahui perkembangan itu kepada FMT.

Tiga pengarah syarikat terbabit dipercayai memberi rasuah bagi mendapatkan kontrak promosi bernilai RM90 juta untuk agensi kerajaan itu.

“Syarikat mengemukakan dokumen dan maklumat palsu dalam tender yang menyaksikan kontrak itu ditawarkan kepada mereka.”

Difahamkan syarikat terbabit tidak memenuhi syarat perlu untuk layak mendapat kontrak berkenaan, selain gagal memenuhi syarat teknikal dan kewangan.

Walaupun begitu, kontrak berkenaan ditawarkan “selepas rasuah diberikan kepada pegawai tertentu,” kata sumber.

Juga difahamkan bahawa SPRM mengenal pasti pegawai agensi itu yang “bekolaborasi dengan 3 pengarah berkenaan.”

“Lebih banyak tangkapan akan dibuat.”

Ketika dihubungi, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan penahanan itu, tetapi enggan memberi komen lanjut.

“Mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah,” katanya.