Tambahbaik pembelajaran dalam talian bagi pelajar di rumah, seru aktivis

Kanak-kanak belajar di rumah sejak Mac sebagai langkah keselamatan dalam melawan penularan Covid-19. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE) menyeru penambahbaikan segera ke atas pembelajaran di rumah, mengatakan kebanyakan murid tidak dapat manfaat daripada kelas dalam talian dalam beberapa bulan lepas.

Ketua kumpulan itu, Noor Azimah Abdul Rahim mendakwa pembelajaran dalam talian tidak berstruktur dan tidak berkesan, manakala jurucakap Page, Tunku Munawirah Putra berkata sukatan dan kaedah tidak standard antara mata pelajaran dan sekolah.

“Page berpendapat pembelajaran di rumah perlahan dan tidak mencukupi,” kata Tunku Munawirah kepada FMT. “Ramai pelajar ketinggalan.”

Beliau berkata pengajaran kelas dalam talian bergantung kepada inisiatif guru.

Azimah beritahu FMT perkara ini perlu dipulihkan segera, dan beliau bimbang tentang murid yang belum kembali bersekolah.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin semalam mengumumkan sekolah akan dibuka semula pada 24 Jun, tetapi bagi pelajar Tingkatan 5 dan 6.

Katanya, kerajaan berpuas hati dengan tatacara operasi standard untuk sekolah selepas beberapa latihan besar-besaran dibuat oleh para pegawai di sekolah terpilih.

Azimah berkata pelajar cukup matang untuk patuhi peraturan.

“Cabarannya adalah pastikan mereka tumpu pada pembelajaran, yang nampaknya ada sekali-sekala, dan beri perhatian pada peperiksaan,” katanya.

“Kami berharap guru juga serius dan komited menambah mana-mana kekurangan dan mengatasi halangan yang mereka hadapi.”

Tunku Munawirah berkata sekolah mungkin perlu mengadakan 2 sesi bagi memuatkan pelajar apabila semua dibenarkan kembali bersekolah.