Zamrose Mohd Zain dilantik panglima tentera darat yang baru

Jeneral Zamrose Mohd Zain (kanan) dan Jeneral Hasbullah Mohd Nawawi menandatangani dokumen penyerahan tugas hari ini. (Gambar Tentera Darat Malaysia)

PETALING JAYA: Jeneral Zamrose Mohd Zain dilantik sebagai panglima tentera darat ke-28 menggantikan Jeneral Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkuat kuasa pada hari ini.

Hasbullah dilantik ke jawatan itu pada Septermber 2018.

Sepanjang 39 tahun perkhidmatannya dalam tentera, Zamrose pernah menyandang pelbagai jawatan dengan jawatan terakhir sebelum ini sebagai panglima medan timur tentera darat.

Anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan, itu memulakan kariernya dengan menyertai latihan sebagai pegawai kadet pada tahun 1980, dan seterusnya ditauliahkan sebagai leftenan muda pada 24 Januari 1981.

Zamrose memulakan perkhidmatannya dalam tentera di Batalion Kelapan Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD).

Bagi Ahmad Hasbullah pula, kerjaya ketenteraannya bermula dengan mengikuti latihan pegawai kadet dan dipilih mengikuti latihan di Officer Cadet School, Portsea, Australia.

Beliau ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 11 Disember 1981 sebagai ketua platun dan berkhidmat di Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (25 RAMD).

Hasbullah turut menyandang pelbagai jawatan penting sepanjang 40 tahun 2 bulan semasa berkhidmat. Bahkan, beliau berpengalaman memerangi ancaman komunis, serta melaksanakan tugas-tugas pemerintahan, staf dan jurulatih.

Hasbullah turut menjadi ketua peneraju Op Penawar pada awal tahun 2020 bagi membantu kerajaan menangani wabak Covid-19, yang akan diteruskan Zamrose.

Majlis pemakaian pangkat disempurnakan oleh Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.