17 tapak pembinaan diarah tutup kerana gagal patuhi SOP, kata Ismail Sabri

Pemeriksaan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia mendapati 1,713 tapak pembinaan patuh SOP ditetapkan, manakala 367 tapak tidak patuh SOP dan diberi amaran, dengan baki 5,479 lagi tidak beroperasi.

PUTRAJAYA : Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengarahkan penutupan 2 lagi tapak pembinaan susulan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob berkata, ini menjadikan keseluruhan 17 tapak pembinaan yang diarah tutup setakat ini.

Katanya, semalam CIDB membuat pemeriksaan di 152 tapak pembinaan di seluruh negara membabitkan 186 anggota penguat kuasa.

“Pemeriksaan mendapati 88 tapak pembinaan patuh SOP ditetapkan, manakala 15 tidak patuh SOP dan diberi amaran, sementara 47 tapak pula masih belum beroperasi,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, jumlah kumulatif tapak binaan yang diperiksa oleh CIDB sehingga hari ini adalah sebanyak 7,576 di seluruh Malaysia.

“Daripada jumlah itu, pemeriksaan mendapati 1,713 tapak binaan patuh SOP ditetapkan, manakala 367 tapak tidak patuh SOP dan diberi amaran. Baki 5,479 tapak pembinaan tidak beroperasi,” katanya.

Kerajaan benar mesyuarat, seminar dan kursus

Dalam perkembangan lain Ismail berkata, kerajaan bersetuju memberi kebenaran kepada penganjuran mesyuarat, seminar, kursus atau latihan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang bermula minggu ini.

Katanya, program terbabit boleh dilaksana sebaik sahaja SOPnya diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Mesyuarat sudah bersetuju memberikan kebenaran kepada penganjuran mesyuarat, seminar, kursus dan latihan. Namun SOPnya sedang diperhalusi oleh MKN bersama Kementerian Kesihatan (KKM).

“Dijangka ia akan dibentangkan pada mesyuarat khas Isnin untuk kelulusan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa perkhidmatan bas pekerja dan pelancong dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh dan pengendali boleh menjalankan operasi dengan kapasiti dibenarkan.

“Bas kilang pun sama boleh beroperasi dengan kapasiti penuh. Malah ia sebenarnya lebih mudah dikawal kerana setiap penumpang sudah dikenal pasti berbanding pengguna pengangkutan awam lain. Ini kerana setiap kilang mempunyai maklumat lengkap, termasuk alamat kediaman pekerjanya.

“Bas membawa pelancong juga sama, boleh beroperasi dengan kapasiti penuh,” katanya.

Empat PATI ditahan

Dalam sidang media sama, Ismail turut memaklumkan bahawa 4 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam sekatan jalan raya Ops Benteng, semalam.

Katanya, PATI terbabit ditahan hasil pemeriksaan ke atas 28,430 kenderaan di 61 sekatan jalan raya di seluruh negara.

“Setakat ini, seramai 1,517 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen menerusi operasi bersepadu yang dilaksanakan pihak berkuasa.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram. Agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan sempadan, terutamanya di lorong tikus,” katanya.

SOP rumah ibadat bukan Islam akan dimuktamad

Ismail turut memaklumkan bahawa kerajaan melalui Kementerian Perpaduan sedang memuktamadkan SOP baru bagi membolehkan rumah ibadat agama bukan Islam menambah jumlah pengunjung seperti masjid.

“Kalau sebelum ini kita hadkan tidak lebih 30 orang dalam satu masa dan hanya untuk hari-hari penting sahaja, sebagai contoh agama Kristian, hari Ahad, mungkin kali ini SOP untuk menambah kehadirannya akan dibincangkan.

“Saya dimaklum menteri perpaduan akan bentang cadangan SOP baru rumah ibadat bukan Islam Isnin nanti. Mungkin akan ada cadangan untuk waktu ibadat. Kalau sekarang 1-2 hari, kali ini mungkin akan tambah kepada beberapa hari lagi seminggu,” katanya.