Dr M cadang tubuh parti baru, janji lumayan

Dr Mahathir Mohamad berkata PPBM ketika ini ‘sudah berpecah dua’.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bercadang untuk menubuhkan sebuah parti politik baru, yang menjanjikan pendapatan lumayan kepada ahli.

“Nama parti ini ialah Parti AAD atau Parti Apa Aku Dapat,” katanya di blog hari ini.

Mahathir, yang keahliannya dalam PPBM “terhenti” kerana mengingkari parti dengan menyertai blok pembangkang di Dewan Rakyat, berkata tujuan parti baru itu untuk memperkaya orang Melayu “yang belum dapat”.

“Siapa yang belum dapat boleh buat permohonan untuk jadi ahli, atau presiden, timbalan presiden, naib presiden dan lain-lain.

“Yuran tidak perlu,” tambahnya.

Mahathir turut mendedahkan cara parti baru itu memperkaya ahlinya, iaitu dengan melantik mereka sebagai pegawai di badan-badan yang akan ditubuhkan.

“Khusus untuk memenuhi hasrat memberi pendapatan yang lumayan kepada mereka yang belum dapat dan yang ingin dapat banyak lagi,” katanya.

Beliau sempat menarik perhatian kepada PPBM, mengatakan parti itu sudah berpecah dua. “Sebab itu saya ingin tubuh satu lagi parti politik Melayu.”

Mahathir menggalas jawatan pengerusi sebelum keahliannya dihentikan bersama anaknya, Mukhriz, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Amiruddin Hamzah, dan Maszlee Malik.