Goldman Sachs minta denda AS$2 bilion berkait 1MDB dikaji semula, kata laporan

Goldman Sachs mengumpul kira-kira AS$6.5 bilion untuk 1MDB, memperoleh bayaran sebanyak AS$600 juta. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Goldman Sachs, yang dikenakan denda lebih AS$2 bilion kerana peranannya dalam skandal 1MDB, cuba meminta pendakwaraya persekutuan Amerika Syarikat mengkaji semula tuntutan mereka, lapor akhbar The New York Times.

Laporan itu, memetik 3 orang yang diberi taklimat mengenai perkara itu, berkata peguam bank itu meminta Timbalan Peguam Negara Jeffrey Rosen meringankan tuntutan terhadap Goldman, yang diminta membayar denda sebanyak lebih AS$2 bilion dan mengaku bersalah terhadap tuduhan feloni.

Menurut sumber yang tidak dinamakan itu, laporan itu berkata Goldman cuba meminta denda yang lebih rendah dan tidak perlu mengaku bersalah.

Laporan itu berkata permintaan itu, yang dibuat beberapa minggu lepas, bukanlah luar biasa bagi siasatan yang melibatkan syarikat korporat berprofil tinggi.

Menurut laporan itu, permintaan seperti itu kebiasaannya diajukan pada peringkat akhir rundingan penyelesaian.

Ia juga berkata wakil pendakwa raya dan Jabatan Kehakiman AS (DoJ) enggan mengulas, sementara jurucakap Goldman pula sekadar berkata bank itu akan terus berurusan dengan semua pihak berkuasa yang berkenaan.

Sekiranya Goldman berjaya capai suatu penyelesaian, ia akan selesaikan sebahagian daripada penyiasatan hampir 5 tahun ke atas dakwaan rasuah, korupsi, dan pengubahan wang melibatkan 1MDB.

Goldman mengumpul kira-kira AS$6.5 bilion untuk 1MDB, memperoleh bayaran sebanyak AS$600 juta.

Bloomberg sebelum ini melaporkan DoJ dan agensi persekutuan AS membincangkan rancangan untuk meminta penalti antara AS$1.5 bilion dan AS$2 bilion daripada Goldman.

Dalam temubual dengan Financial Times pada November, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia menolak tawaran pampasan kurang daripada AS$2 bilion daripada Goldman atas skandal itu.