Guru kembali ke Sarawak wajib jalani saringan Covid-19

KUCHING: Semua guru yang berkhidmat di Sarawak tetapi kini masih berada di luar negeri itu diarahkan untuk menjalani ujian Covid-19 sebelum kembali bertugas, kata Pengarah Pendidikan Negeri, Abang Mat Ali Abang Masagus.

Dalam surat kepada pegawai pendidikan daerah, beliau berkata arahan khas berkenaan sejajar dengan arahan yang diterima daripada timbalan setiausaha kerajaan Sarawak merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Ik Pahon Joyik.

“Guru yang berada di Semenanjung, Sabah, dan Wilayah Persekutuan Labuan diminta untuk mematuhi arahan tersebut sebagai langkah pencegahan dan kawalan risiko penularan wabak Covid-19 di Sarawak. Ujian ini hendaklah dibuat 3 hari sebelum memulakan perjalanan ke Sarawak,” katanya dalam surat berkenaan yang diperoleh Bernama hari ini.

Ik Pahon dalam surat arahannya bertarikh semalam berkata guru yang bertugas di bandar dan sudah menjalani saringan Covid-19 3 hari sebelum masuk ke Sarawak dikehendaki menjalani kuarantin di kediaman masing-masing di negeri itu selama 14 hari, selain dikehendaki memakai jalur lengan khas sepanjang tempoh kuarantin berkenaan.

“Guru yang bertugas di kawasan pedalaman Sarawak yang sudah/belum menjalani ujian saringan Covid-19 semasa ketibaan di Sarawak, mereka akan menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan JPBNS serta dikehendaki memakai ‘wristband’ sepanjang tempoh kuarantin,” katanya.

Ik Pahon berkata guru untuk kawasan pedalaman itu juga perlu menjalani ujian saringan pada hari ke-10 kuarantin dan akan dibenarkan meneruskan perjalanan ke kawasan bertugas menggunakan pengangkutan yang disediakan kerajaan negeri, jika keputusan ujian saringan negatif.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Michael Manyin Jawong semalam berkata seramai 2,644 guru dari Semenanjung Malaysia akan kembali semula ke Sarawak untuk mengajar sebelum pembukaan sekolah pada 24 Jun.

“Kami juga berbincang dengan JPBNS dan akan cuba mendapatkan Sukarelawan Sarawak untuk membantu guru dari Semenanjung kembali ke Sarawak,” katanya pada sidang media.

Menurutnya, pegawai pendidikan dari semua daerah di Sarawak akan melawat 188 sekolah menengah yang mempunyai pelajar Tingkatan 5 dan 6 bermula 15 Jun untuk memastikan semua persiapan dibuat untuk pembukaan itu.

“Sarawak mempunyai 34,306 pelajar Tingkatan 5 dan 6,782 pelajar Tingkatan 6, dan daripada jumlah keseluruhan sekolah menengah di negeri ini, 41 sekolah harus menjalankan kelas dalam 2 sesi, iaitu pagi dan petang,” katanya.