Polis halang lalulintas elak anjing cedera dilanggar

Sikap prihatin polis lindungi anjing yang cedera di tengah lebuhraya yang sesak wajar dipuji. (Gambar Facebook)

Setiap orang perlu mempunyai sikap prihatin tidak kiralah jika ia melibatkan sesama manusia ataupun haiwan.

Pertolongan yang dihulurkan sesiapa sahaja ternyata akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada mereka yang dibantu.

Begitu jugalah atas sikap prihatin yang ditunjukkan seorang anggota polis trafik yang segera menghulurkan bantuan terhadap seekor anjing yang cedera dilanggar.

Menerusi posting yang dikongsi oleh Facebook Polis dengan tajuk “Pic of the day: Setiap mahkluk ciptaan tuhan adalah berharga” menunjukkan keprihatinan anggota polis melindungi seekor anjing ditengah lebuhraya.

Bagi mereka yang menyaksikan sendiri sikap prihatin polis ini, membuktikan setiap makhluk yang wujud di muka bumi ini amat berharga.

“Sama-samalah kita berbuat baik dan menyayangi antara satu sama lain kerana setiap yang bernyawa berhak menikmati hidup dengan aman dan selesa,” menurut posting tersebut.

Netizen yang melihat ternyata terharu dan berterima kasih dengan sikap prihatin itu.

“Terima kasih kepada anggota polis trafik dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor kerana telah menyelamatkan seekor anjing yang cedera dilanggar oleh kenderaan di kilometer 13.8 Lebuhraya Persekutuan Kuala Lumpur pagi tadi.”

“Walaupun sibuk dalam memastikan laluan trafik di Kuala Lumpur berjalan lancar, bantuan tetap diberikan kepada anjing berkenaan demi memastikan ia selamat dan kembali berjalan semula.”

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]