India negara ke-4 paling teruk terjejas Covid-19

Negeri Maharashtra mencatatkan kes Covid-19 paling tinggi di India, diikuti Tamil Nadu, New Delhi, Gujarat, Uttar Pradesh, Rajasthan dan Madhya Pradesh. (Gambar AP)

NEW DELHI: India negara ke-4 di dunia paling teruk diancam wabak Covid-19 selepas merekodkan 10,956 kes jangkitan baru dalam tempoh 24 jam.

Jumlah kes disahkan melonjak kepada 297,535, manakala angka korban sebanyak 8,498, dengan 396 kematian dicatatkan dalam tempoh sehari, menurut data kerajaan.

Keseluruhan, India mempunyai 141,842 kes aktif dan 147,195 pesakit pulih setakat 8 pagi Jumaat, kata Kementerian Kesihatan.

Negara ini mengatasi Britain dan Sepanyol dalam jumlah jangkitan, manakala Amerika Syarikat, Brazil dan Rusia, merupakan 3 negara di dunia paling teruk terjejas.

Pada Khamis, agensi penyelidikan perubatan persekutuan berkata, kadar kematian di India bagi setiap 100,000 penduduk adalah terendah di dunia.

“Kita perlu meneruskan strategi pengujian, pengesanan, kuarantin dan langkah membendung, kita tidak boleh menyerah kalah dalam hal ini,” kata ketua pengarah Majlis Penyelidikan Perubatan India (ICMR) Balram Bhargava.

Negeri Maharashtra mencatatkan paling banyak kes, diikuti Tamil Nadu, New Delhi, Gujarat, Uttar Pradesh, Rajasthan dan Madhya Pradesh.