Ismail belum terima laporan terkini dakwaan penggunting rambut positif Covid-19

PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob belum terima maklumat terkini daripada Kementerian Kesihatan berhubung dakwaan seorang penggunting rambut positif Covid-19, beberapa hari selepas perkhidmatan itu dibenarkan beroperasi.

“Saya tidak boleh komen betul atau tidak, kalau betul premis gunting tersebut pasti akan ditutup,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial penggunting rambut di sebuah kedai di Setapak dikatakan positif Covid-19.

Ismail berkata penggunting rambut, sama ada ada tempatan atau warga asing, wajib menjalani saringan Covid-19 sebelum boleh mula berkhidmat.

“Disahkan negatif baru boleh memulakan pekerjaan,” katanya.

Ismail beri amaran pengusaha kedai gunting rambut yang gagal berbuat demikian akan dikenakan tindakan.

Beliau juga mengingatkan pelanggan supaya menyemak status kesihatan penggunting rambut itu, dengan meminta dokumen saringan Covid-19 mereka yang dikeluarkan oleh klinik.

“Pelanggan juga boleh dan berhak minta,” katanya.

“Jika tukang gunting gagal menunjukan bukti, sila lapor kepada pihak berkuasa dan tindakan segera akan diambil,” katanya.

Beliau sekali lagi mengingatkan orang ramai tentang aplikasi MySejahtera dan keperluan mengisi butiran lengkap di kedai yang dikunjungi.

“Kalau ada kes positif maka kita boleh kesan kontak rapat,” katanya.