Pelancongan domestik dibenarkan, tetapi pengusaha hotel terus berhati-hati

Kakitangan sebuah hotel di Kuala Lumpur menjalankan operasi nyah cemar di premis sebagai persiapan untuk menerima pelanggan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan.

PETALING JAYA: Sesetengah pengurus hotel mengambil pendekatan berhati-hati terhadap langkah pembukaan semula sempadan negeri dengan berkata, mereka tidak menjangka perniagaan akan banyak bertambah daripada pelanggan yang bercuti walaupun kerajaan membenarkan pelancongan domestik di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) bermula minggu ini.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia cawangan Pulau Pinang, Khoo Boo Lim berkata, tidak berlaku peningkatan ketara dalam tempahan pelanggan walaupun sekatan perjalanan kini dilonggarkan yang sebelum ini menyaksikan sekatan jalan raya diadakan di seluruh negara dengan kawalan polis dan tentera.

Khoo, yang turut mengurus Hotel Macalister Teracces di George Town berkata, beliau menjangka mendapat lebih banyak tempahan daripada pelanggan dengan urusan kerja berbanding mereka yang bercuti.

“Orang ramai masih belum bersedia untuk membuat perjalanan,” katanya dengan menambah bahawa sekatan ke atas aktiviti ekonomi di bawah perintah kawalan sebelum ini memberi kesan ke atas pendapatan ramai orang.

“Saya jangka orang ramai akan lebih berhati-hati dalam perbelanjaan mereka. Sedikit masa diperlukan untuk ekonomi pulih dan bergerak semula.”

Minggu lepas, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKPP yang membenarkan perjalanan antara negeri kecuali di kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Beliau berkata, aktiviti pelancongan domestik boleh dibuka semula, walaupun sempadan negara terus ditutup.

Pengurus besar Hotel Boulevard di Kuala Lumpur BE Lim berkata, tempahan bilik mula diterima susulan pengumuman perdana menteri itu.

Bagaimanapun katanya kepada FMT, kebanyakan tempahan melibatkan pelanggan dengan urusan perniagaan.

Katanya, hotel menerima tempahan untuk tarikh antara Jun dengan Ogos, walaupun adalah terlalu awal untuk membuat anggaran berhubung jumlah tempahan.

Dalam pada itu presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia Emmy Suraya Hussein berkata, hotel bajet menyaksikan peningkatan tempahan sekitar 15%.

Bagaimanapun katanya, angka itu tidak besar memandangkan tempahan tersebut turut melibatkan tarikh sehingga akhir tahun.

Beliau menganggarkan tempahan sekitar 6,000 sehingga 6,500 malam membabitkan 2,300 hotel bajet, dengan pelanggan terbahagi sama ramai antara mereka yang berurusan perniagaan dan percutian.

Rajesh Daswani, pengurus Ramada Suites Kuala Lumpur berkata, ia tidak banyak menerima tempahan walaupun dibuka sepanjang tempoh PKP. Beliau bagaimanapun tetap optimis.

“Saya yakin ia akan bertambah baik. Saya positif, tetapi ia akan mengambil masa.”

Beliau berkata, pelanggan hotelnya biasanya orang asing, dengan sedikit-sebanyak orang tempatan.

Dalam pada itu, pemeriksaan di laman web Resort World Genting mendapati resort miliknya, iaitu Genting, Awana, Kijal dan Langkawi terus ditutup sepanjang PKPP sehingga diberitahu kelak.

Dalam satu notis, ia berkata, syarikat itu akan memantau perkembangan krisis Covid-19 sebelum membuat pengumuman lanjut, selain menambah bahawa pada masa ini, resort terbabit sedang meningkatkan amalan penjagaan kebersihannya.

“Ini bagi memastikan anda selamat dan menikmati pengalaman yang menggembirakan apabila kami membuka semula perniagaan,” katanya.