Pendaftaran pengundi automatik amat mencabar, kata SPR

Pengerusi SPR, Azhar Harun berkata ramai pengundi belum kemaskini alamat masing-masing, menyebabkan sukar untuk melaksanakan sistem pendaftaran automatik.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya secara manual memasukkan kira-kira 5 juta belia yang akan mencecah usia 18 tahun dan pengundi berusia 21 tahun yang belum berdaftar ke dalam lokaliti mengundi masing-masing, ketika ia sedang selesaikan sistem pendaftaran pengundi automatik.

Pengerusi Azhar Harun beritahu FMT bahawa pengundi baru itu akan didaftarkan secara automatik apabila sistem itu dimulakan.

Katanya, SPR mahu sistem itu sedia menjelang Julai tahun depan atau lebih awal.

Pada Julai, Parlimen meluluskan usul yang membolehkan pendaftaran pengundi automatik dan membenarkan rakyat berusia 18 tahun mengundi dan bertanding sebagai calon pilihan raya.

Azhar berkata tugan itu tidak semudah yang disangkakan.

“Orang ingat ia semudah menghubungkan ia dengan Jabatan Pendaftaran Negara. Tidak semudah itu.

“Apabila anda mendaftar sebagai seorang pengundi, saya perlu masukkan anda dalam lokaliti menurut alamat anda. Ada orang letak alamat Ahmad bin Abdul, Alor Setar. Jadi macam mana nak tentukan lokalitinya?”

Beliau berkata 1% daripada alamat pengundi berdaftar tidak lengkap.

Selain itu, terdapat lebih 4 juta pengundi tidak berdaftar berusia 21 tahun ke atas yang perlu ditentukan lokaliti mereka untuk pendaftaran automatik.

Antara masalah utama adalah ramai rakyat tidak mengemaskini alamat di MyKad mereka, kata Azhar.

“Bagaimana kalau, selepas pendaftaran pengundi automatik ini bermula, ada alamat dari Flat Pekeliling dan mereka tidak dapat dihubungi? Daftar pengundi akan nampak ‘kotor’.”

Beliau berkata SPR, Jabatan Penerangan, dan Jabatan Pendaftaran Negara perlu menjalankan kempen “meminta, menggesa, dan merayu” orang ramai mengemaskini alamat masing-masing.

Azhar mengalu-alukan langkah membolehkan rakyat yang berusia 18 tahun mengundi, mengatakan itulah usia seseorang boleh buat kontrak sah.

Beliau juga merasakan wajar membolehkan mereka pilih calon yang akan merumuskan dasar yang memberi kesan pada mereka, seperti dasar mengenai pinjaman pendidikan.

Mengenai isu pendanaan politik, Azhar berkata Pusat Governans, Integriti & Anti-Rasuah Nasional mengetuai tugas menangani perkara itu dan sudah berhubung dengan SPR.

Draf usul itu sudah disediakan, tambahnya.