Petronas akan tarik balik rayuan dan bayar cukai jualan, kata Abang Johari

Pada Mac Mahkamah Tinggi Kuching membuat keputusan bahawa Sarawak mempunyai hak untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum di negeri itu. (Gambar AFP)

KUCHING: Ketua Menteri Abang Johari Openg berkata, Petronas akan menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Sarawak mempunyai hak di bawah perlembagaan persekutuan untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum di negeri itu.

Petronas memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan pusat pada Februari.

Abang Johari berkata, beliau difahamkan bahawa kerajaan PH mengarahkan Petronas supaya tidak membuat rayuan apabila kes tersebut dibawa ke Mahkamah Rayuan pada 23 Jun.

“Kerajaan persekutuan meminta Petronas supaya akur kepada keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Sarawak memiliki hak di bawah perlembagaan persekutuan untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum, selain membayar cukai jualan negeri.

“Kerajaan persekutuan mahu isu ini diselesaikan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.

Pada Januari tahun lepas, kerajaan Sarawak mengenakan cukai jualan 5% ke atas produk petroleum Petronas di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998.

Petronas bagaimanapun enggan membayar cukai tersebut dengan berkata, ia bercanggah dengan perlembagaan. Ini menyebabkan kerajaan negeri mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat minyak negara itu.

Pada 13 Mac, Mahkamah Tinggi Kuching membuat keputusan bahawa Sabah dan Sarawak mempunyai hak di bawah perlembagaan persekutuan untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum, sekali gus menolak permohonan Petronas untuk mengisytiharkan cukai jualan negeri Sarawak sebagai tidak sah dan terbatal.

Abang Johari juga berkata, mesyuarat majlis tertinggi PBB hari ini membincangkan persediaan negeri itu untuk menghadapi pilihan raya.

“Saya meminta wakil penduduk (Gabungan Parti Sarawak) supaya turun ke akar umbi kerana kita perlu bersedia untuk menghadapi pilihan raya,” katanya.