Rais Husin dilantik pengerusi baru MDEC

Rais Husin akan mengetuai Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia untuk tempoh 2 tahun berkuat kuasa 15 Jun ini.

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hari ini mengumumkan pelantikan Rais Hussin Mohamed Ariff sebagai pengerusi baru Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi tempoh 2 tahun berkuat kuasa 15 Jun, 2020.

Menterinya Saifuddin Abdullah berkata Rais Hussin menggantikan Mathialakan Chelliah yang memangku jawatan tersebut selama 2 tahun.

Menurutnya, Rais Hussin merupakan seorang usahawan dan berpengalaman luas dalam bidang perniagaan, teknologi maklumat dan komunikasi serta berkelulusan ijazah Kedoktoran dalam pentadbiran perniagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Beliau juga merupakan pengarang-bersama buku berjudul ‘4IR: AI, Blockchain, Fintech – Reinventing a Nation’, kata Saifuddin dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau yakin Rais Hussin akan menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dalam usaha membangunkan ekonomi digital negara.