Rakyat Malaysia dalam 11 kes import Covid-19 stabil

11 kes import membabitkan warganegara Malaysia yang pulang dari luar negara berada dalam keadaan stabil.

KUALA LUMPUR: Sejumlah 11 kes import dilaporkan hari ini membabitkan warganegara Malaysia yang pulang dari luar negara berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di hospital di beberapa negeri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook berkata daripada jumlah itu, 4 kes masing-masing di Hospital Tumpat, Kelantan dan Hospital Sungai Buloh, Selangor; manakala di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak dan Hospital Melaka, masing-masing 1 kes.

“Semua disaring untuk sampel kedua pada 9 Jun dan dibenarkan pulang ke rumah untuk menyambung tempoh kuarantin di rumah memandangkan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) berkuat kuasa mulai 10 Jun.

“Setelah keputusan sampel didapati positif Covid-19, mereka dimasukkan ke wad. Semua mereka tidak bergejala dan stabil. Kes-kes ini dimasukkan ke hospital untuk pemerhatian,” katanya.

Mengikut garis panduan WHO, kes disahkan Covid-19 dan tidak bergejala lebih dari 10 hari adalah tidak mempunyai risiko transmisi kepada orang lain dari tarikh disahkan positif.

Terdahulu, Hisham pada sidang media memaklumkan jumlah kes baru positif hari ini kembali meningkat kepada 2 angka dengan 31 kes baru, melibatkan 11 kes import dan 20 kes penularan tempatan.