Tarikh perbicaraan rasuah Ku Nan ditangguh sehingga rayuan selesai

Bekas menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor.

KUALA LUMPUR: Perbicaraan rasuah RM1 juta Tengku Adnan Tengku Mansor ditangguhkan sementara menunggu usaha pihak pendakwaan mengembalikan seorang hakim Mahkamah Tinggi bagi membicarakan kes itu selesai.

Timbalan Pendakwaraya Julia Ibrahim beritahu Hakim Mahkamah Tinggi, Muhammad Jamil Hussin bahawa Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan mereka pada 17 Julai ini.

“Ia bergantung kepada sama ada rayuan kami berjaya atau tidak bulan depan.

“Kami menggesa mahkamah tetapkan tarikh sebutan sementara menunggu rayuan itu,” katanya.

Peguam Tan Hock Chuan tidak membantah sebutan kes dibuat selepas rayuan.

Jamil kemudian tetapkan 24 Julai untuk pihak pendakwaan dan pembelaan memaklumkan perkembangan terkini kepada mahkamah.

Julia beritahu pemberita sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan memihak kepada pendakwaan, kes itu akan dibicarakan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Nazlan mendengar kes Tengku Adnan pada 20 Sept tahun lepas, apabila Julia membacakan kenyataan pembukaan dan memanggil seorang saksi, Daman Huri Nor dari Seksyen Hal Ehwal Perlembagaan dan Parlimen di Jabatan Perdana Menteri untuk beri keterangan.

Nazlan menolak cubaan pihak pembelaan yang mahu beliau menarik diri pada hari pertama perbicaraan.

Mahkamah Rayuan kemudian membenarkan rayuan Tengku Adnan dari membicarakan kes rasuah itu atas alasan hakim sudah mendengar pengakuan bersalah seorang ahli perniagaan, Tan Eng Boon atas tuduhan bersuhabat kerana memberikan suapan RM1 juta kepada Tengku Adnan.

Tengku Adnan, dituduh menerima RM1 juta daripada Tan sebagai suapan untuk meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd untuk menaikkan plot ratio indsutri sebidang tanah di Jalan Semarak. Syarikat itu milik Tan.

Bekas menteri itu juga sedang dbicarakan dalam kes lain, yang mana beliau didakwa menerima RM2 juta daripada seorang lagi ahli perniagaan, Chai Kin Kong, walaupun tahu syarikat Chai berurusan dengan kementerianya ketika itu.