1 ditahan, 8 diburu selepas lolos dari pusat tahanan di Sabah

Sembilan lelaki Filipina yang melarikan diri daripada pusat tahanan sementara Sibuga pada Rabu lalu.

SANDAKAN: Polis semalam menahan seorang lelaki Filipina yang melarikan diri dari pusat tahanan sementara (PTS) Sibuga di sini pada awal pagi Rabu lalu.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan dalam kenyataan hari ini berkata, lelaki berumur 40 tahun itu ditahan di sebuah pondok tepi jalan di KM27 Jalan Sandakan-Kota Kinabalu dekat sini, kira-kira 2 petang.

“Berlaku sedikit pergelutan sewaktu melaksanakan tangkapan itu sehingga polis terpaksa menggunakan kekerasan minimum untuk menangkapnya.”

Katanya, polis sedang memburu 8 lagi tahanan yang masih bebas selepas melarikan diri dari PTS itu, dipercayai selepas merosakkan jeriji sebuah tingkap pada 2.20 pagi ketika hujan lebat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi bilik gerakan IPD Sandakan dengan menelefon 089-212 222.