3 Adun wanita PKR Selangor ikrar setia bersama Anwar

Tiga Adun wanita PKR di Selangor, iaitu Juwairiya Zulkifli (kiri), Rodziah Ismail dan Rozana Zainal Abidin berikrar untuk terus setia bersama parti dan menyokong kepimpinan presiden PKR Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Tiga Adun wanita PKR di Selangor bersama-sama dengan Majlis Pimpinan Wanita PKR Selangor berikrar untuk terus kekal setia bersama parti, sekali gus menjawab langkah Ketua Wanita PKR Selangor Dr Daroyah Alwi yang meninggalkan parti itu hari ini

Tiga Adun berkenaan, iaitu Juwairiya Zulkifli (Bukit Melawati), Rodziah Ismail (Batu Tiga) dan Rozana Zainal Abidin (Permatang) berkata, mereka sudah menjangkakan tindakan Daroyah itu lebih awal.

“Kami sudah bersiap sedia untuk meneruskan agenda reformasi dan seterusnya mempertahankan kerajaan negeri Selangor.

“Wanita PKR Selangor akan terus mara sebagai satu sayap bagi mendepani semua isu wanita dan mengangkat martabatnya,” katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Terdahulu hari ini, timbalan ketua Wanita PKR yang juga Adun Sementa, Daroyah Alwi melepaskan semua jawatan dalam parti serta meninggalkan parti itu.

Daroyah yang juga timbalan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu berkata, beliau berbuat demikian kerana tidak lagi percaya dengan kepimpinan presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Anwar dan “pentaksubnya” dilihat gagal menjalankan amanah majoriti ahli yang memilih mereka.

Kenyataan bersama yang turut disokong 18 ketua wanita bahagian PKR itu berkata, pemimpin datang dan pergi, namun matlamat tidak akan pernah goyang dan kepimpinan terus teguh untuk memacu sayap wanita bawah pentadbiran presiden PKR Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari.

Pada 5 Jun, naib presiden PKR dan ahli Parlimen Lubok Antu, Tambat @Jugah anak Muyang mengumumkan keluar parti disebabkan masalah dalaman Pakatan Harapan (PH) dan kejatuhan kerajaan gabungan itu susulan peletakan jawatan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad Februari lalu.

Ia menyusul keputusan 2 wakil rakyat di Kedah, iaitu Adun Lunas, Azman Nasrudin dan Robert Ling (Sidam) yang meninggalkan PKR pada 12 Mei, sekali gus menyebabkan kerajaan negeri PH pimpinan Mukhriz Mahathir tumbang.

Dalam pada itu, Ketua Wanita PKR, Haniza Talha digantung keahliannya sejak 6 April lalu atas alasan menghadiri pertemuan dengan bekas pemimpin parti itu, iaitu Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin pada Februari.

Azmin dan Zuraida dipecat PKR pada 24 Feb kerana “mengkhianati parti” dengan terbabit dalam “Langkah Sheraton” yang menyebabkan kerajaan PH jatuh.