5 lagi ditahan dalam sindiket jual dokumen saringan Covid-19 palsu

Polis berkata, 5 suspek itu ialah buruh binaan di sebuah syarikat pembinaan di Kuala Lumpur dan mereka ditahan di Jalan Tengkat Tong Shin kira-kira 11 malam 9 Jun lalu.

PETALING JAYA: Polis menahan 5 lagi lelaki Bangladesh yang disyaki terbabit dalam sindiket pemalsuan laporan keputusan ujian saringan Covid-19 bagi warga asing, susulan penahanan pertama membabitkan 2 lelaki Bangladesh pada 5 Jun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata, semua suspek yang berusia 26 hingga 30 tahun itu ialah buruh binaan di sebuah syarikat pembinaan di ibu kota dan mereka ditahan di Jalan Tengkat Tong Shin, Kuala Lumpur kira-kira 11 malam 9 Jun lalu.

“Polis turut merampas 5 telefon bimbit dan satu salinan surat saringan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Minggu lalu, 2 lelaki Bangladesh yang ditahan di Jalan Alor, Kuala Lumpur kerana menjual dokumen palsu keputusan ujian saringan Covid-19 negatif kepada warga asing pada harga RM50, direman selama 2 minggu sehingga 19 Jun ini.

Polis dilaporkan berkata, 2 suspek itu yang dianggarkan menerima gaji RM1,500 hingga RM1,700 sebulan, ialah penjaga kaunter di kaki lima kedai di Jalan Alor yang beroperasi sejak satu hingga 2 minggu lalu.

Hari ini, Mazlan berkata, polis menerima 3 lagi laporan berhubung pemalsuan dokumen ujian saringan Covid-19 pada 9 dan 10 Jun lalu, selepas majikan menghubungi hospital dan makmal di sekitar Kuala Lumpur untuk mendapatkan pengesahan laporan keputusan ujian saringan.

“Setelah semakan dibuat, pihak hospital dan makmal tersebut mendapati nama pesakit dalam laporan keputusan ujian saringan Covid-19 tersebut tidak dapat dikesan dalam rekod berdaftar hospital/makmal.

“Doktor yang membuat saringan tidak bertugas di hospital/makmal seperti dalam laporan keputusan ujian saringan Covid-19 tersebut.”

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 468 dan 471 Kanun Keseksaan kerana menggunakan dokumen palsu, Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen.

Katanya, polis giat mengesan individu terbabit dalam sindiket itu kerana sikap tidak bertanggungjawab mereka yang hanya mengutamakan keuntungan membahayakan kesihatan orang ramai serta menjejaskan usaha kerajaan memutuskan rantaian virus berkenaan.

Beliau menasihatkan majikan menyemak keputusan saringan Covid-19 pekerja asing dengan pihak pengeluar laporan itu sebelum mengambil mereka bekerja.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Hotline polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.