Elak guna kolam renang pada masa ini, kata WHO

Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata, lebih baik dielakkan tempat-tempat yang sesak, termasuk kolam renang yang digunakan oleh ramai orang. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menasihati orang ramai supaya mengelakkan penggunaan kolam renang bagi menghalang penularan wabak Covid-19.

Ketua misi dan wakil WHO ke Malaysia, Brunei dan Singapura Dr Jacqueline Lo bagaimanapun berkata, penggunaan kolam renang yang diselenggara dan diklorinkan dengan baik umumnya adalah selamat.

“Tetapi adalah dinasihatkan supaya dielakkan tempat-tempat yang sesak, termasuk kolam renang yang digunakan oleh ramai orang,” katanya kepada FMT.

Kolam renang di negara ini terus ditutup, walaupun kerajaan telah berunding dengan pemegang taruh berkaitan dalam usaha menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk aktiviti kolam.

SOP tersebut akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk kelulusan.

LO berkata, wabak Covid-19 pada dasarnya menular dari individu ke individu melalui titisan kecil cecair dari hidung atau mulut apabila pembawa virus berkenaan batuk, bersin atau bercakap.

“Individu boleh dijangkiti apabila mereka berada hampir dengan orang lain atau menyentuh objek atau permukaan di keliling kolam yang disentuh oleh orang lain dan selepas itu mereka menyentuh mata, hidung atau mulut sendiri,” katanya.

“Justeru adalah penting untuk menghindari aktiviti ini sebagai sebahagian daripada strategi komprehensif bagi menghindari penularan Covid-19.”

Beliau berkata, orang ramai perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berhubung larangan penggunaan kolam renang.