Ibu positif Covid-19 perlu terus susukan bayi, kata WHO

WHO berkata, virus hidup yang menyebabkan Covid-19 belum dijumpai dalam susu ibu setakat ini. (Gambar Rawpixel)

GENEVA: Wanita baru bersalin yang dijangkiti Covid-19 perlu meneruskan penyusuan ibu dan tidak dipisahkan daripada bayi mereka, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada Jumaat yang menekankan manfaatnya melebihi risiko.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, agensi kesihatan itu sudah menjalankan siasatan terperinci berhubung risiko ibu menyebarkan virus itu kepada bayi ketika penyusuan.

“Kami tahu kanak-kanak berisiko rendah dijangkiti Covid-19, tetapi berisiko tinggi menghidap pelbagai penyakit dan keadaan lain yang dicegah penyusuan.

“Berdasarkan bukti yang ada, nasihat WHO ialah manfaat penyusuan melebihi sebarang risiko berpotensi penularan Covid-19.”

Anshu Banerjee, penasihat kanan WHO untuk kesihatan pembiakan dan penyelidikan, berkata setakat ini, virus hidup yang menyebabkan Covid-19 belum dijumpai dalam susu ibu.

“Ibu yang disyaki atau disahkan positif Covid-19 perlu digalakkan untuk memulakan dan meneruskan penyusuan serta tidak dipisahkan daripada bayi mereka, kecuali ibu terlalu sakit,” kata Tedros.