Kerajaan alukan pengusaha majlis perkahwinan kemuka SOP sebelum dibenar operasi

Kerajaan sehingga kini membenarkan majlis perkahwinan bersemuka dengan kehadiran maksimum 20 orang. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Kerajaan mengalu-alukan cadangan pengusaha majlis perkahwinan untuk mengemukakan prosedur operasi standard (SOP) majlis kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum diberi kebenaran untuk beroperasi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun majlis perkahwinan belum dibenarkan diadakan, tetapi SOP berkaitan boleh dibentangkan terlebih dahulu.

“Mungkin (bila) sudah diumumkan boleh jalan terus, jadi tak perlu tunggu.

“Boleh hantar cadangan kepada MKN. MKN boleh adakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan juga wakil pengusaha untuk keluarkan SOP.

“Sementara ini, bangunkan SOP walaupun ia belum lagi dibuka,” katanya pada sidang media hariannya di sini ketika ditanya mengenai keluhan banyak pengusaha majlis perkahwinan kerana masih tidak dibenarkan beroperasi.

Dalam pada itu, Ismail berkata, sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan 1 (PKP 1) sehingga perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) kini, sudah banyak sektor perniagaan dibenarkan dibuka semula secara peringkat.

“Kita mula beri kebenaran bernikah. Mula-mula melalui dalam talian, selepas itu benarkan bersemuka dengan jumlah kehadiran maksimum 20 orang.

“Saya percaya jumlah lebih besar mungkin dibenarkan dari semasa ke semasa secara berperingkat.

“Ia akan ditentukan selepas perbincangan antara MKN, Kementerian Kesihatan dan mungkin akan dibentang dalam mesyuarat khas menteri-menteri untuk diberi kebenaran,” katanya.

Rentas negeri ke Sarawak

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, bagi pergerakan rentas negeri ke Sarawak, rakyat Malaysia dari semenanjung, Sabah dan Labuan tidak lagi perlu memohon kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dan tidak perlu mengambil sampel (PCR test) sebelum berlepas ke negeri itu.

Beliau berkata, bagaimanapun mereka perlu mematuhi SOP yang ditetapkan, termasuk memuat turun aplikasi MySejahtera dan mengisi borang deklarasi kesihatan.

“Sampel PCR juga akan diambil secara rambang setelah tiba di pintu masuk utama negeri (udara, darat dan laut) dan mereka dinasihatkan untuk memuat turun aplikasi Covid Trace Sarawak dan Qmunity,” katanya.