Kolam takungan RM18 juta atasi masalah bekalan air di Felda Chini, kata MB

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, ahli Parlimen Pekan Najib Razak dan pengerusi Felda Idris Jusoh meninjau keadaan di Sungai Mentiga, Pekan hari ini.

PEKAN: Masalah bekalan air di Felda Chini di sini pada musim kemarau yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu dijangka selesai dengan pembinaan kolam takungan hiliran (ORS) bernilai RM18 juta di muka sauk Sungai Mentiga.

Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata projek itu, yang dijangka bermula pada September ini, mengambil masa setahun untuk disiapkan dengan proses tender dibuat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada bulan ini.

“Felda melalui FIC Integrated Property Management Sdn Bhd akan melaksanakan projek ini yang apabila siap membantu memberikan penyelesaian jangka panjang masalah bekalan air yang dihadapi 33,000 penduduk Chini.

“Kolam itu juga diperbesarkan daripada kapasiti perancangan asal yang boleh menampung selama air 11 hari kepada 22 hari mengambil kira tempoh kemarau yang lazimnya berlaku antara 22 hingga 24 hari,” katanya dalam sidang media selepas melawat tapak projek di sini hari ini.

Turut hadir pengerusi Felda Idris Jusoh, ahli Parlimen Pekan Najib Razak dan setiausaha kerajaan Pahang Sallehuddin Ishak.

Wan Rosdy berkata, selain kolam tadahan air, ORS itu berfungsi sebagai prarawatan air bagi memastikan penduduk di Felda Chini, Paloh Hinai, Kampung Mambang, Gumum dan Padang Rumbia dapat menikmati kualiti air yang lebih baik.

Beliau juga berterima kasih kepada kerajaan persekutuan yang membantu usaha kerajaan negeri mendapatkan peruntukan bagi projek itu yang tertangguh sejak mula diusahakan pada tahun 2017.

Katanya, masalah bekalan air di Chini berlaku ekoran kemerosotan sumber air mentah pada musim panas menyebabkan Loji Rawatan Air Chini tidak dapat beroperasi, selain disebabkan isu taburan hujan yang kurang pada musim tersebut.

“Sebagai penyelesaian jangka pendek, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) mengambil tindakan segera dengan menempatkan tangki statik dan bantuan lori tangki ke kawasan yang terjejas.

“PAIP juga melakukan pembinaan gabion dan cerucuk keping di muka sauk untuk mengepung dan menaikkan paras air, selain menerima bantuan agihan bekalan dari loji berhampiran,” katanya.