KWSP catat pendapatan pelaburan kasar RM12.16 bilion pada suku pertama 2020

Ketua pegawai eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias, berkata, dana simpanan itu semakin mengambil manfaat daripada pelaburan yang berterusan dalam pasaran luar negara, yang merangkumi 28.8% daripada keseluruhan jumlah pelaburan asetnya.

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM12.16 bilion untuk suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2020 semasa cabaran pandemik global Covid-19.

Menurut ketua pegawai eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias, pandemik Covid-19 memberi impak yang besar ke atas dunia yang tidak bersedia menghadapinya, mengakibatkan perubahan mendalam kepada kehidupan seharian serta menyebabkan kemelesetan ekonomi di luar jangkaan.

“Ini memburukkan lagi keadaan yang sudah pun menyaksikan persekitaran global yang sememangnya lemah akibat kejatuhan harga minyak dan ketidaktentuan pasaran yang didorong oleh isu geopolitik yang masih berterusan sejak 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Instrumen pendapatan tetap menyumbang sebanyak RM4.87 bilion kepada pendapatan kasar. Sektor hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang pula masing-masing menyumbang RM0.43 bilion dan RM0.54 bilion, manakala ekuiti pula mencatatkan RM6.32 bilion, mewakili 52% daripada jumlah pendapatan kasar.

“Pendapatan pelaburan bersih yang dicatatkan adalah sebanyak RM7.50 bilion setelah mengambil kira penghapusan ke atas nilai ekuiti tersenarai, yang merupakan amalan berhemah KWSP dalam memastikan portfolio pelaburan jangka panjang kekal sihat,” katanya.

“Semua pasaran domestik dan global terjejas teruk, terutamanya pasaran ekuiti yang mengalami penurunan yang ketara, dengan kejatuhan pasaran global sehingga 32%, manakala prestasi FTSE Bursa Malaysia KLCI susut 15% sehingga 31 Mac 2020.

Prestasi pelaburan KWSP juga tidak terkecuali daripada impak Covid-19 dan mencatatkan penurunan prestasi dalam aset pelaburan dana itu.

“Walaupun ketidaktentuan pasaran dijangka akan berterusan, KWSP melihat beberapa pemulihan dalam pelbagai pasaran dunia sejak April lepas,” katanya.

“Sebagai dana simpanan jangka masa panjang dengan pelaburan di serata dunia, KWSP sentiasa mengamalkan sistem penilaian dan pengurusan yang tegas dalam membuat sebarang keputusan pelaburan, yang berpandukan strategi jangka masa panjang bagi memastikan kami sentiasa berwaspada dan tidak membuat keputusan secara terburu-buru mengikuti pergerakan pasaran semasa.

“Oleh itu, KWSP berada dalam kedudukan lebih baik bagi menghadapi ketidaktentuan pasaran dan berpeluang menambah pelaburan dalam aset yang kukuh,” kata Tunku Alizakri.

Beliau berkata, dalam keadaan ini, KWSP semakin mengambil manfaat daripada pelaburan yang berterusan dalam pasaran luar negara, yang merangkumi 28.8% daripada keseluruhan jumlah pelaburan aset KWSP.

“Berpandukan alokasi aset strategik (SAA), dana ini berjaya mengatasi kebanyakan dana ekuiti lain walaupun dalam keadaan kemerosotan pasaran, sementara menumpukan kepada aset yang lebih stabil seperti bon, ini meningkatkan pulangan daripada aset pendapatan tetap KWSP dan seterusnya mengurangkan impak daripada penurunan harga ekuiti.

“SAA KWSP memperuntukkan 54% kepada instrumen pendapatan tetap, 36% kepada ekuiti, 6% kepada hartanah dan infrastruktur serta 4% kepada instrumen pasaran wang.

“Ini mencerminkan matlamat jangka panjang KWSP dalam memastikan pelaburan berhemah dan berdisiplin bagi menghadapi pergerakan pasaran yang tidak menentu,” katanya.

Di sebalik ketidaktentuan akibat pandemik ini dan keadaan ekonomi yang merudum, beliau melahirkan keyakinan bahawa keadaan ini akan kembali pulih dan stabil semula.

“Adalah penting kita belajar dan menyesuaikan diri supaya boleh mengambil kesempatan daripada peluang yang disampaikan oleh krisis Covid-19. Kita perlu merancang semula infrastruktur global serta model ekonomi dan model sosial negara untuk mencapai masa depan yang lebih baik,” katanya.